Selasa, 17 April 2018 | 9:48am
SEORANG bayi perempuan yang ditemui ditinggalkan dalam kotak di pondok hentian bas di Kampung Rastamas, dibawa ke Hospital Tawau. - Foto ihsan polis

Bayi ditinggalkan di pondok bas

TAWAU: Seorang bayi perempuan berusia antara enam hingga 12 bulan ditemui ditinggalkan dalam kotak di pondok hentian bas di Kampung Rastamas, Jalan Apas di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus, berkata bayi itu yang memakai baju merah jambu dan ditinggalkan dalam kotak bersama beg berisi barangan bayi, ditemui oleh seorang wanita kira-kira jam 7.30 malam.

Katanya, wanita itu pada mulanya terdengar suara bayi menangis sebaik turun dari bas ketika pulang ke rumahnya di Kampung Rastamas.

"Dia kemudian terus menuju ke kawasan pondok perhentian bas dan melihat bayi perempuan berbaju berwarna merah jambu, berkulit cerah diletakkan di dalam kotak.

"Melihat keadaan bayi yang masih hidup dan menangis, wanita itu membawa bayi bersama barang yang ditinggalkan ke balai polis untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Fadil berkata, bayi itu kemudian dirujuk ke Hospital Tawau dan pemeriksaan mendapati anggaran usia bayi adalah antara enam hingga 12 bulan dengan berat 12 kilogram.

Selain itu, katanya, tiada sebarang kecederaan fizikal pada tubuh badan bayi dan hanya terdapat alahan pada kulit di bahagian leher dan celah kangkang.

Bayi itu kini ditempatkan di wad untuk pemerhatian lanjut sebelum diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi," katanya.

1746 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »