Rabu, 16 Mei 2018 | 4:23pm

Bakar 100 motosikal kerana berang ditegur

SUBANG JAYA: Hanya kerana tidak berpuas hati ditegur penduduk kerana selalu buat bising, sekumpulan remaja dipercayai membakar hampir 100 motosikal yang diletakkan di bawah Blok F, Pangsapuri Angsana, Taman Subang Mewah, USJ 1, di sini, awal pagi tadi.

Kejadian jam 2.30 pagi itu menyebabkan kerosakan pada beberapa kemudahan flat berkenaan selain premis perniagaan turut terjejas ekoran bahang api yang merosakkan dinding serta siling.

Ketua Cawangan Siasatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Cawangan Zon Petaling Jaya, Abdul Halim Zulkifli, berkata pihaknya menerima panggilan jam 2.59 pagi sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang dan Petaling Jaya seramai 26 anggota bergegas ke lokasi.


FORENSIK Bomba menjalankan siasatan dalam satu kejadian kebakaran dimana lebih 100 buah motosikal terbakar yang disyaki berpunca daripada perbuatan khianat di Flat Angsana, USJ 1, Subang Jaya kira-kira pada jam 3 pagi tadi. - Foto Supian Ahmad

"Pihak kami dapat mengawal kebakaran, namun lebih 90 motosikal hangus dijilat api. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian ini," katanya ketika ditemui di lokasi, hari ini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari, berkata pihaknya menahan lima remaja berusia 11 hingga 15 tahun yang disyaki terbabit dalam kejadian itu.

"Deretan motosikal yang diletakkan di bawah blok F di flat berkenaan dibakar menyebabkan hampir 100 motosikal hangus selain turut menyebabkan beberapa struktur dan kemudahan lain di tingkat bawah musnah.

"Berdasarkan maklumat, remaja lelaki berumur 11 hingga 15 tahun ditahan bagi membantu siasatan dan akan direman pagi ini. Punca kejadian disebabkan suspek tidak puas hati dengan penduduk yang sering menegur suspek membuat bising di bawah blok," katanya dalam satu kenyataan.

Kejadian turut menyebabkan bekalan elektrik dan air terputus serta lif tidak dapat berfungsi.

Suspek dipercayai membakar motosikal menggunakan petrol selepas pihak forensik polis dan JBPM menemui satu botol plastik yang mempunyai kesan petrol di bawah sebuah kereta berhampiran lokasi kejadian.

Sementara itu, seorang penduduk berkata, ketika kejadian kebakaran itu, api menjulang naik hingga ke tingkat tiga menyebabkan penghuni flat itu tidak berani untuk keluar dari rumah.

"Bagaimanapun, kami sekeluarga gagahkan juga keluar kerana bimbang sesuatu yang lebih buruk berlaku sekiranya terperangkap," kata Zawati Razali 38, antara penduduk yang terjejas akibat 100 motosikal dibakar sekumpulan remaja.

Zawati berkata, kira-kira jam 2.30 pagi dia tersedar apabila terasa bahang panas selain bekalan elektrik terputus menyebabkan dia sekeluarga bergelap sebelum membuat pemeriksaan dan mendapati berlaku kebakaran.

"Keadaan ketika itu memang panik. Jika sebelum ini saya hanya melihat perkara begini dalam drama atau filem, tapi pagi tadi saya sendiri mengalaminya.

"Sebaik membuka pintu rumah, api menjulang naik sedangkan rumah saya berada di tingkat tiga. Saya masuk balik ke dalam rumah dan beberapa kali cuba untuk keluar sebelum nekad meredah asap tebal dan bahang api," katanya ketika ditemui di lokasi, hari ini.

Seorang lagi penduduk, Johari Yatim, 34, berkata pihak forensik polis dan bomba menemui satu botol plastik yang mempunyai kesan petrol dipercayai digunakan suspek untuk membakar motosikal.

"Pihak bomba dan polis tidak membenarkan saya untuk mengalihkan kenderaan kerana barang bukti berada di bawah kereta, dipercayai disorok atau dibuang remaja berkenaan.

"Saya sangat terkejut kerana mereka sanggup mencurahkan petrol pada motosikal dan membakarnya. Terdahulu, sebelum kejadian ini, kumpulan berkenaan membuat kecoh di blok ini sebelum ditegur penduduk," katanya.

5653 dibaca
Berita Harian X