Rabu, 22 Ogos 2018 | 8:55pm
KENDERAAN yang membawa tujuh sekeluarga termasuk seorang pemandu kereta maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire dinaiki mereka terbabas, di kilometer 39.8 Kuala Lumpur menghala Bentong, Pahang. - Foto Nstp

MPV rempuh tembok

BENTONG: Seorang terbunuh manakala enam lagi cedera termasuk dua parah apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire dinaiki tujuh sekeluarga merempuh tembok batu di Kilometer 39.8 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak menghala Bentong, berdekatan Bukit Tinggi, hari ini.

Ong Boon Seng, 54, yang juga pemandu MPV itu meninggal dunia di lokasi dalam kemalangan jam 4.30 petang.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Sani Harul, berkata dua mangsa yang parah, masing-masing seorang lelaki berusia 50-an dan wanita berumur 60-an akibat tersepit dalam kenderaan itu.

Mereka dikeluarkan oleh tujuh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bentong.

Mayat Boon Seng dan semua mangsa termasuk empat yang cedera ringan dihantar ke Hospital Bentong untuk rawatan.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kenderaan itu yang hilang kawalan sebelum merempuh tembok batu di kiri lebuh raya,” katanya ketika dihubungi.

Identiti mangsa yang cedera belum dikenal pasti.

1606 dibaca
Berita Harian X