Jumaat, 12 Oktober 2018 | 2:46pm
Seorang koordinator sebuah syarikat logistik, Nor Atikah Dzolkifli, 27 didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan mendera enam ekor kucing peliharaannya, enam bulan lalu. - Foto Saddam Yusoff

Wanita mengaku tidak bersalah dera 6 kucing peliharaan

KUALA LUMPUR: Seorang koordinator sebuah syarikat logistik didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan mendera enam ekor kucing peliharaannya, enam bulan lalu.

Nor Atikah Dzolkifli, 27, selaku Orang Kena Saman (OKS), bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Manira Mohd Nor.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Nor Atikah didakwa menyebabkan penderitaan tidak sepatutnya terhadap enam ekor kucing miliknya di Taman Sri Sinar Segambut, di sini jam 12.30 tengah hari, pada 17 April lalu.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 29(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Wilayah Persekutuan, Hasiah Musa, menawarkan ikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, Nor Atikah yang tidak diwakili peguam, dalam rayuannya memohon dikurangkan jaminan dengan alasan mempunyai masalah kewangan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 November ini untuk sebutan semula kes.

514 dibaca
Berita Harian X