Jumaat, 12 Oktober 2018 | 3:52pm
Hospital Seberang Jaya, Butterworth.

Wanita kebumi mayat bayi ditahan

BUTTERWORTH: Seorang wanita berusia 22 tahun ditahan polis selepas bertindak menyembunyikan kelahiran dan mengebumikan bayinya yang didakwa mati di Bagan Dalam, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata suspek yang dipercayai bersalin di sebuah rumah di Kubang Semang, mendakwa bayinya meninggal dunia sejurus dilahirkan.

Beliau berkata, suspek kemudian membawa mayat bayi itu ke rumah ibunya di Bagan Dalam sebelum mengebumikannya.

“Dia kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) sebelum doktor yang merawatnya menghubungi polis memaklumkan pesakitnya dipercayai menyembunyikan kelahiran.

“Susulan maklumat itu, polis bertindak mendapatkan keterangan daripada suspek yang mengaku melahirkan bayi berkenaan sebelum mengebumikan mayatnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Nik Ros Azhan berkata, suspek juga tidak membuat laporan polis berhubung kematian bayinya.

Katanya, polis masih menunggu laporan forensik dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

752 dibaca
Berita Harian X