Jumaat, 12 Oktober 2018 | 5:05pm

Tukang cat dituduh miliki wang, kad pengenalan palsu

KUANTAN: Seorang tukang cat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan menghasilkan wang palsu RM50 dan RM100 serta memiliki lebih daripada satu kad pengenalan palsu, 5 Oktober lalu.

Tertuduh, Muhammad Cheong Abdullah, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan berkenaan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa memiliki peralatan menghasilkan wang palsu serta memiliki 42 keping RM50 dan enam keping RM100 wang palsu dengan niat menggunakannya di rumah di Taman Alor Akar, di sini pada 5 Oktober 2018.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 489D Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda.

Bagi pertuduhan kedua, bapa seorang anak itu didakwa memiliki lebih daripada satu kad pengenalan palsu mengikut Peraturan 25 (1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) di tempat dan tarikh sama.

Tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farahah Mohd Nazari, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, tertuduh merayu ditawar jaminan yang rendah mengambil kira gajinya sebagai tukang cat RM1,000 sebulan dan perlu menanggung seorang isteri dan anak.

Bagaimanapun, Farahah menawarkan jaminan RM18,000 dengan seorang penjamin berikutan kesalahan dilakukannya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 November depan untuk sebutan semula kes.

134 dibaca
MUHAMMAD Cheong (baju hijau) dibawa ke Mahkamah Sesyen di Kompleks Mahkamah Indera Mahkota Kuantan atas tuduhan memiliki wang, kad pengenalan palsu. - NSTP/Farizul Hafiz Awang
Berita Harian X