Jumaat, 12 Oktober 2018 | 5:43pm
ANGGOTA sukarelawan Mercy Malaysia mendirikan khemah kesihatan di Klinik kesihatan Sibalaya Selatan, Palu. - Ihsan Mercy Malaysia
ANGGOTA sukarelawan Mercy Malaysia mendirikan khemah kesihatan di Klinik kesihatan Sibalaya Selatan, Palu. - Ihsan Mercy Malaysia

Mercy Malaysia sedia bina klinik di Palu

KUALA LUMPUR: Bukan sekadar bantuan jangka pendek diberikan, sebaliknya Mercy Malaysia serius membangunkan khemah kesihatan di Klinik kesihatan Sibalaya Selatan, Palu, Sulawesi, Indonesia, yang mampu memberi rawatan sehingga tempoh setahun.

Ketua pasukan misi Mercy Malaysia ke Palu, Norazam Abu Samah berkata,Mercy Malaysia tekad untuk terus memberi sumbangan dan bantuan berterusan kepada mangsa ditimpa bencana tsunami, gempa dan lumpur bergerak (likuifaksi).

Menurutnya, usaha murni itu dilakukan Mercy Malaysia dengan kerjasama pasukan kesihatan Mer-c Indonesia.

“Sumbangan ubat-ubatan, peralatan kesihatan dan empat khemah besar hasil derma rakyat Malaysia melalui Mercy Malaysia akan digunakan pihak kami bersama pasukan kesihatan Mercy Indonesia.

“Usaha itu akan diselia Kementerian Kesihatan Indonesia. Bagi peringkat awal ini, rawatan kesihatan akan diberikan kepada 520 mangsa yang kehilangan tempat tinggal akibat gempa bumi dan likuifaksi di Desa Sibalaya, Sigi,” katanya yang selesai membina khemah kesihatan itu tadi.

Menurutnya, klinik sementara ini dijangkakan akan dibuka kepada orang ramai selama enam bulan hingga setahun.

“Semua peralatan kesihatan diterbangkan dengan pesawat bantuan Hercules C130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang tiba di Lapangan Terbang Mutiara SIS Al-Jufrie di sini, pada Rabu lalu.

“Semalam Mercy Malaysia menyerahkan 100 khemah kepada 100 keluarga yang menjadi mangsa bencana di kampung Pombewe, Sigi di sini.


MANGSA tsunami Palu menunggu giliran untuk mendapatkan rawatan daripada pegawai perubatan di klinik sementara Mercy Malaysia. - Ihsan Mercy Malaysia

SEORANG mangsa mendapatkan rawatan selepas kakinya tercedera ketika menyalamatkan diri daripada tsunami yang melanda Palu, Sulawesi. - Ihsan Mercy Malaysia

ANTARA sebahagian mangsa tsunami Palu yang datang mendapatkan rawatan, nasihat dan ubat-ubatan di klinik sementara Mercy Malaysia. - Ihsan Mercy Malaysia

“Setiap khemah berkenaan mampu memuatkan sehingga lapan individu di dalamnya. Hasil dari tinjauan dilakukan, rata-rata mangsa mahukan khemah sebagai keperluan mendesak selain makanan,” katanya ketika dihubungi wartawan.

Sebelum ini pihak Mercy Malaysia mengagihkan kit kebersihan kepada 113 keluarga di Desa Loli Saluran, Kecamatan Banawa, Donggala di sini.

Sumbangan membabitkan pemberian sabun mandi, syampu, berus dan ubat gigi, sikat rambut, ketip kuku, sabun basuh, baldi, pisau cukur, tuala wanita, seluar dalam dan tuala mandi.

Ketika ini terdapat 13 sukarelawan dan sembilan doktor dibawa Mercy Malaysia bagi membantu mangsa di Palu, Sulawesi sejak bencana berlaku.


ANTARA sebahagian mangsa tsunami Palu yang datang mendapatkan rawatan, nasihat dan ubat-ubatan di klinik sementara Mercy Malaysia. - Ihsan Mercy Malaysia

388 dibaca
Berita Harian X