Jumaat, 12 Oktober 2018 | 7:26pm
MAHKAMAH Pilihan Raya di Kuala Lumpur hari ini menolak petisyen pilihan raya yang dikemukakan oleh Khairuddin (kanan). - NSTP/Saddam Yusoff

Mahkamah tolak petisyen pilihan raya Khairuddin

KUALA LUMPUR: Mahkamah Pilihan Raya di sini, menolak petisyen pilihan raya yang dikemukakan oleh calon Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Jasin bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Hakim Pilihan Raya Che Mohd Ruzima Ghazali membuat keputusan itu selepas membenarkan bantahan awal Ahli Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah, Pegawai Pengurus Pilihanraya kerusi Parlimen itu, Zamrud Yahya serta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) iaitu responden kedua dan ketiga.

Dalam keputusannya, Hakim Che Mohd Ruzima berkata, petisyen pilihan raya sepatutnya difailkan di Mahkamah Tinggi di negeri pilihan raya itu diadakan.

“Terdapat merit dalam bantahan yang dikemukakan oleh Ahmad dan Khairuddin gagal mematuhi peruntukan di bawah Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan.

“Dalam kes ini mahkamah yang berbidang kuasa untuk mendengar petisyen ini adalah Mahkamah Tinggi Melaka. Oleh itu pada peringkat ini petisyen ini ditolak,” katanya.

Oleh itu Ahmad kekal di kerusi parlimen Jasin.

Mahkamah juga memerintahkan Khairuddin membayar kos sebanyak RM20,000 kepada Ahmad dan RM5,000 kepada Zamrud Yahya dan SPR.

Pada 14 Jun lalu, Khairuddin memfailkan petisyen pilihanraya di bawah Seksyen 34(C) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 antara lain mendakwa, ahli politik Barisan Nasional (BN) itu tidak dipilih dengan sewajarnya.

Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan itu juga memohon satu perisytiharan atau perintah bahawa pihaknya memenangi PRU-14 yang lalu dan menuntut perintah keputusan Parlimen Jasin tidak sah dan terbatal selain meminta supaya pilihanraya Parlimen itu diadakan semula.

1033 dibaca
Berita Harian X