Isnin, 17 Julai 2017 | 12:02pm

MRT SBK fasa dua dilancar

KUALA LUMPUR: Tren Aliran Transit Massa (MRT) laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) fasa kedua dilancarkan di stesen MRT Tun Razak Exchange (TRX) di sini, hari ini.

Pelancaran projek infrastruktur pengangkutan awam bertaraf dunia itu disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Najib turut menandatangani plak sebagai simbolik majlis berkenaan.

Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Setiausaha Negara yang juga Pengerusi MRT Corp, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Turut kelihatan, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Pendidikan, Datuk Seri Idris Jusoh serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kasim.

Selesai pelancaran itu, Najib bersama kenamaan lain dibawa menaiki tren MRT menuju stesen Kajang bagi menghadiri pelancaran stesen MRT Kajang.

Di stesen berkenaan, Perdana Menteri dijadual menyempurnakan majlis penyerahan kad MyRapid kepada 20 penerima mewakili 100 penerima keseluruhannya, merangkumi kumpulan keluarga berpendapatan rendah (B40).

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor tiba di Stesen MRT Tun Razak Exchange (TRX) bagi majlis pelancaran Aliran Transit Massa (MRT) laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) fasa kedua. Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai. - Foto Asyraf Hamzah
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak merasmikan MRT laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) fasa kedua di stesen MRT Tun Razak Exchange (TRX) di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
Berita Harian X