Jumaat, 21 Julai 2017 | 6:21pm

Lebih 1,000 bantah Zionis di Kedutaan AS


UMAT Islam menyertai perhimpunan aman 'Untukmu, Ya Al-Aqsa' di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat, di sini, bagi menyatakan bantahan terhadap insiden pencabulan hak kebebasan beribadah susulan penutupan Masjid al-Aqsa oleh rejim Israel. - Foto Yazit Razali

KUALA LUMPUR: Lebih 1,000 orang berkumpul di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Tun Razak di sini sebagai tanda membantah kekejaman rejim Zionis terhadap rakyat Palestin.

 

Mereka mula berkumpul dan berarak dari  Menara Tabung Haji kira-kira jam 2 petang tadi, selepas solat Jumaat.

 

Lautan lelaki dan wanita segenap lapisan umur termasuk rakyat Palestin yang berada di Malaysia sanggup berpanas dengan membawa kain rentang tertera 'Save Al-Quds' dan mengibarkan bendera Palestin sambil melaungkan 'Selamatkan Al-Aqsa' serta 'Hancur Israel'.


UMAT Islam menyertai perhimpunan aman 'Untukmu, Ya Al-Aqsa' di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat, di sini, bagi menyatakan bantahan terhadap insiden pencabulan hak kebebasan beribadah susulan penutupan Masjid al-Aqsa oleh rejim Israel. - Foto Yazit Razali

Perhimpunan secara aman itu yang berlangsung hampir dua jam dianjurkan oleh pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam iaitu Yayasan Al-Quds.

 

Antara NGO lain yang turut menyertai perhimpunan aman itu adalah Aqsa Syarif (MyCARE), Muslim Care Malaysia, Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia, Persatuan Ulama Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Pertubuhan Ikram Malaysia.

 

Bercakap pada sidang media, Pengerusi Yayasan Al-Quds, Dr Sharif Amin, berkata matlamat utama penganjuran perhimpunan adalah bagi membantah tindakan terbaharu Israel yang menghalang umat Islam di Palestin masuk dan solat di Masjid Al-Aqsa.

 

Katanya, sudah seminggu azan tidak dilaungkan di Masjid Al-Aqsa kerana tindakan rejim Zionis itu.


UMAT Islam menyertai perhimpunan aman 'Untukmu, Ya Al-Aqsa' di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat, di sini, bagi menyatakan bantahan terhadap insiden pencabulan hak kebebasan beribadah susulan penutupan Masjid al-Aqsa oleh rejim Israel. - Foto Yazit Razali

"Walaupun Israel mendakwa mereka sudah membuka semula sekatan itu, umat Islam (yang mahu masuk ke Masjid Al-Aqsa) masih dikenakan kawalan ketat," katanya.

 

Sementara itu, Presiden Majlis Perunding Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata memorandum yang mengandungi 12 tuntutan berjaya diserahkan kepada pegawai keselamatan kedutaan berkenaan yang dikenali dengan nama Brian.

 

Beliau berharap perhimpunan ini tidak hanya membuka mata umat Islam, malah menyedarkan masyarakat bukan Islam bahawa penindasan terhadap penduduk Palestin adalah isu kemanusiaan, bukan sekadar berkisar agama Islam semata-mata.

 

"Saya gesa NGO bukan Islam buka mata dan nyatakan sokongan terhadap penduduk Palestin kerana bukan sahaja umat Islam, malah Kristian dan Yahudi Palestin sama sekali hak dan nasib mereka ditindas di negara sendiri tanpa rasa bersalah," katanya.

1826 dibaca
Berita Harian X