Sabtu, 29 Julai 2017 | 2:34pm

Perkahwinan puteri Sultan Johor kekal adat tradisi

JOHOR BAHRU: Istiadat perkahwinan anakanda Sultan Johor, Tunku Puteri Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim, dengan warga Belanda, Dennis Muhammad Abdullah, pada 14 Ogos ini akan berlangsung dengan penuh tradisi dan adat istiadat budaya Johor.

Tunku Aminah berkata, Sultan Johor mahu perkahwinan diadakan dengan menampilkan segala keunikan, kekayaan warisan serta tradisi Johor.

"Tuanku Sultan pernah menunjukkan gambar perkahwinan ayahandanya (Almarhum Sultan Iskandar Almarhum Sultan Ismail) dan bondanya (Enche' Besar Kalsom Abdullah) yang diadakan dengan penuh adat istiadat dan tradisi Johor.

"Baginda meminta saya mencontohinya bagi mengekalkan budaya dan tradisi Johor. Jika tidak, baginda khuatir keunikan kami sebagai orang Johor akan hilang dan dilupakan buat selama-lamanya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam temubual bersama Royal Press Office (RPO) iaitu pejabat media dan komunikasi rasmi Keluarga Diraja Johor, di sini hari ini.

Tunku Aminah, yang dilahirkan pada 8 April 1986, adalah anakanda kedua daripada enam beradik dan puteri tunggal kepada Sultan Ibrahim dan Tuanku Permaisuri Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah.

Istiadat pertunangan akan diadakan pada jam 10 pagi, 14 Ogos ini di Istana Bukit Serene diikuti dengan istiadat nikah, manakala upacara bersanding akan diadakan pada jam 8 malam hari yang sama di Bilik Singgahsana, Istana Besar.

Tunku Aminah berkata, walaupun beliau menerima sebahagian pendidikan barat di sekolah antarabangsa di Singapura (turut belajar di sekolah kebangsaan untuk beberapa tahun dan mempelajari agama Islam di rumah), beliau berbangga untuk mengenakan pakaian tradisional Baju Kurung Teluk Belanga pada hari perkahwinannya.

"Memandangkan ini yang ayahanda dan bonda mahukan, saya tidak mempunyai masalah mengenakan busana tradisional Johor tulen untuk majlis perkahwinan itu nanti, manakala Dennis Muhammad pula akan mengenakan Baju Melayu Teluk Belanga.

"Ayahanda (Sultan Ibrahim) mahu dia (Dennis Muhammad) mengenakan dua kerongsang di songkok seperti mana pernah digunakan nenda (Almarhum Sultan Iskandar) pada perkahwinannya. Kerongsang ini diberikan kepada Almarhum Sultan Iskandar oleh bondanya Almarhumah Sultanah Aminah," katanya.

Tunku Aminah berkata, selain alat kebesaran dan tradisi Diraja, perkahwinan itu sendiri akan berlangsung secara sederhana tetapi meriah bersama keluarga dan sahabat handai.

"Saya mahu ia menjadi satu majlis yang tenang dan meriah. Itu yang paling penting. Ia tidak perlu diadakan secara besar-besaran dan penuh kemewahan," katanya.

8277 dibaca
Berita Harian X