Sabtu, 5 Ogos 2017 | 2:19pm
PELATIH kuda, dari kiri, Adnan, Zubir dan Mohd Fazli menunjukkan jemputan perkahwinan Tunku Tun Aminah dan Dennis Muhammad pada 14 Ogos nanti. - Foto Ihsan Royal Press Office

Tunku Tun Aminah jemput kakitangan istana

JOHOR BAHRU: Puteri tunggal Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, iaitu Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah, turut menjemput menjemput kakitangan istana dan pelatihnya yang dianggap antara orang istimewa untuk menyerikan majlis perkahwinannya pada 14 Ogos ini.

Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim bakal melangsungkan perkahwinan dengan warga Belanda, Dennis Muhammad Abdullah pada 14 Ogos ini.

Selain kerabat diraja, ahli politik, pegawai kanan kerajaan negeri dan ahli perniagaan terkemuka menjadi tetamu, terdapat juga sekumpulan orang yang mempunyai tempat yang istimewa di hati puteri tunggal Sultan Ibrahim iaitu kakitangan istana yang menjaga dan berada disamping beliau sejak zaman kanak-kanak.

Antaranya termasuk pelatih kuda yang mengajar Tunku Aminah, pemandu yang membawanya ke sekolah dan anggota Askar Timbalan Setia Negeri (ATSN) serta pengawal peribadi yang melindungi keluarga Diraja.

"Saya membesar bersama orang-orang ini dan mereka sangat istimewa buat saya. Saya mahu mereka semua berada di hari perkahwinan untuk berkongsi kebahagiaan saya.

"Pemandu dan pengawal peribadi yang menghantar saya akan sering mengingatkan bahawa saya adalah satu-satunya puteri Tuanku Sultan dan menasihatkan saya untuk menjadi seorang yang baik.

"Setiap petang selepas sekolah, saya bersama adik beradik akan pergi bermain dengan pelatih kuda dan menjamu selera di warung yang disediakan untuk mereka.

"Selain pelatih kuda, saya juga akan menjemput kakitangan istana lain yang menjaga kami. Mereka adalah sebahagian daripada zaman kanak-kanak saya dan mengajar saya nilai-nilai untuk berkhidmat dengan berdedikasi, kesetiaan dan kebaikan," kata Tunku Aminah dalam kenyataan media menerusi Royal Press Office iaitu pejabat media dan komunikasi rasmi Keluarga Diraja Johor, di sini hari ini.

Tunku Aminah berkata, sebagai hadiah sempena perkahwinan itu, kakitangan yang sudah lama berkhidmat akan menerima

cenderahati khas yang beliau reka sendiri.

Sementara itu, beberapa warga kerja Istana Johor terharu dan terkejut apabila menerima jemputan majlis perkahwinan Tunku Aminah

"Saya terkejut dan bagaikan bermimpi apakah betul atau tidak mendapat jemputan itu sehingga meremang bulu roma. Saya berasa diri ini amat dihargai apabila Tunku Aminah tidak melupakan saya dengan menjemput untuk hadir pada perkahwinannya," kata Adnan Othman, 45, pelatih kuda dan pemain Kelab Polo Diraja Johor.

Kegembiraan yang sama turut dikongsi oleh dua lagi pelatih kuda Tunku Aminah, Zubir Selamat, 35 dan Mohd Fazli Selamat, 37.

yang menganggapnya sebagai suatu penghormatan.

"Saya mengenali Tunku Aminah sejak dia berusia empat tahun dan sedikit sebanyak berkongsi pengajaran mengendalikan kuda bersamanya. Walaupun seorang yang pemalu, dia sangat berdisiplin dan bagaikan rakan karib kepada kami semua di sini," kata Zubir.

Bagi Mohd Fazli, beliau yang sudah bekerja sebagai pelatih kuda hampir 21 tahun menganggap jemputan perkahwinan itu sebagai satu penghormatan bagi mereka bertiga.

"Kami berterima kasih kepada Tunku Aminah kerana tidak pernah melupakan kami," katanya.

12143 dibaca
Berita Harian X