Selasa, 8 Ogos 2017 | 2:00pm

284,210 peminjam disenaraihitam selesai hutang PTPTN

KUALA LUMPUR: Program #BolehBincang yang dilaksanakan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sejak Mac lalu berjaya membantu 284,210 peminjam yang disenarai hitam menyelesaikan keseluruhan pinjaman mereka.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, melalui program itu juga ramai peminjam yang mula berhubung dengan PTPTN untuk berbincang mengenai pinjaman mereka.

Katanya, PTPTN mengambil beberapa pendekatan baharu dan penambahbaikan berkaitan cara pembayaran serta penyelesaian senarai hitam. "Ini termasuk membuka kaunter 24 jam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ( KLIA) yang beroperasi 24 jam," katanya menjawab soalan tambahan Teo Kok Seong (DAP-Rasah) pada Sesi Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Kok Seong mahu mengetahui keberkesanan pembukaan kaunter PTPTN di KLIA serta usaha penambahbaikan melalui program ##BolehBincang.

Idris berkata, penambahbaikan sistem dan pemudah cara pembayaran balik pinjaman menyebabkan ramai peminjam mula berbincang dan selesaikan hutang mereka. Katanya, pendekatan yang flesibel itu menjadi budaya yang positif kepada peminjam PTPTN.

"Tahun lalu, PTPTN mengutip RM3 bilion melepasi sasaran RM2 bilion. Memandangkan rakyat mula faham dengan cara PTPTN mengutip hutang kita sasarkan untuk mengutip RM4 bilion tahun ini, " katanya.

Terdahulu menjawab soalan asal Dr Noor Azmi Ghazali (BN-Bagan Serai) mengenai isu peminjam yang belum dibenarkan membuat penggabungan pinjaman yang diambil ketika diploma dan ijazah, katanya penggabungan pinjaman sudah dibenarkan dilaksanakan melalui dua fasa iaitu mulai April dan 1 Ogos lalu.

"Fasa pertama mulai 6 April lalu dilaksanakan yang mana pinjaman baharu diluluskan bagi mereka yang telah ada pinjaman terdahulu manakala fasa kedua mulai 1 Ogos dengan penggabungan pinjaman secara automatik, " katanya.

"Oleh itu, mereka (peminjam) tiada masalah lagi dengan institusi kewangan, Jabatan Imigresen atau pun dikenakan sebarang tindakan undang-undang," katanya.

709 dibaca
Berita Harian X