Jumaat, 11 Ogos 2017 | 5:24pm
DENNIS Muhammad Abdullah (kanan) bersama bapanya, Martin Verbaas (dua dari kanan), Presiden Majlis Mahkamah Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli (dua dari kiri) dan Setiausaha negeri, Datuk Azmi Rohan ketika Istiadat Meletak Kerja. - Foto Royal Press Office

Islam beri ketenangan - Dennis Muhammad


DENNIS Muhammad Abdullah, bakal suami kepada Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim. - Foto Ihsan Royal Press Office

JOHOR BAHRU: "Saya mula mendekati agama Islam sejak tahun 2014. Hati saya terbuka untuk menerima Islam kerana melihat ada lebih banyak ketenangan dalam diri," kata Dennis Muhammad Abdullah, 28.

Malah beliau bersyukur kepada Allah kerana dapat mengikuti segala pembelajaran dengan sempurna tanpa apa-apa halangan atau rintangan.

Dennis Muhammad bakal berkahwin dengan puteri Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar iaitu Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah, Isnin ini.

Anak kelahiran Belanda itu berkata, pada Julai 2014, ketika pulang ke Amsterdam, beliau banyak mendapatkan pandangan serta nasihat rakan Muslim di sana mengenai Islam termasuk meminta mereka membawanya ke masjid.

"Ini kerana saya mahu melihat serta mendengar sendiri bagaimana cara mereka bersembahyang di masjid selain mendapatkan nasihat daripada mereka mengenai ajaran Islam yang turut dipelajari dalam bahasa Belanda," katanya.

Beliau berkata demikian dalam temubual dengan pejabat media dan komunikasi rasmi keluarga diraja Johor, Royal Press Office (RPO), di sini semalam.

Dennis Muhammad yang memeluk Islam pada 31 Mei 2015 di Pejabat Kadi Johor Bahru, berkata, beliau membaca pelbagai bahan rujukan mengenai Islam dalam internet selain sering pergi ke masjid untuk menunaikan solat berjemaah.

"Selepas mendapat restu Tuanku Sultan Johor untuk berkahwin dengan Tunku Tun Aminah, saya dititah untuk mempelajari agama Islam dengan cara mendalam.

"Saya mula mengikuti kelas Fardhu Ain dan cuba menghafal surah yang pendek dalam al-Quran sejak awal tahun ini. Sebelum ini, saya sudah pun menjalani ibadah puasa secara penuh pada Ramadan sejak 2015 dan sering ke masjid untuk menunaikan solat tarawih.

"Bukan itu sahaja, saya juga tertarik untuk mengenali dan mempelajari bahasa Jawi. Pada masa yang sama, saya mendapat banyak nasihat daripada pakar dalam agama Islam supaya tidak tergesa-tergesa, sebaliknya mendalami ilmu agama secara perlahan," katanya.

Dennis Muhammad berkata, beliau amat memahami nasihat berkenaan serta mengikutinya supaya dirinya benar-benar menjadi seorang muslim yang baik dan tahu segala perkara termasuk bersembahyang.

Katanya, ibu bapa beliau juga banyak memberi sokongan dan tiada halangan daripada mereka untuk saya memeluk Islam.

Beliau berkata, yang lebih penting beliau berasa amat bersyukur kerana mendapat perkenan Tuanku Sultan Johor dan Permaisuri Johor, Tuanku Permaisuri Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah.

dibaca
Berita Harian X