Ahad, 13 Ogos 2017 | 1:15am
meteorologi

Amaran hujan lebat, ribut petir

MELAKA: Hujan lebat serta ribut petir dijangka berlaku awal pagi ini di beberapa kawasan di Semenanjung, Wilayah Persekutuan Labuan serta beberapa daerah pedalaman di Sabah dan Sarawak.

Ketua Sekretariat Jabatan Pengurusan Banjir Negeri (JPBN) Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Effendy Ali, berkata menurut laporan Jabatan Meteorologi, cuaca buruk berserta angin kencang dijangka berlaku di daerah Rembau, Port Dickson di Negeri Sembilan, Melaka, Johor (daerah Tangkak, Muar, Batu Pahat).

"Kawasan lain yang turut dijangka berdepan cuaca buruk ialah bahagian pedalaman daerah Kuala Penyu, Beaufort (Sabah); Wilayah Persekutuan Labuan; Mukah, Sibu, Sarikei dan Betong (Sarawak) .

"Cuaca buruk ini dijangka berterusan hingga awal pagi ini," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Mengulas mengenai mangsa banjir di Melaka, beliau berkata hingga jam 12.30 pagi ini jumlah mangsa banjir terus menurun kepada 94 orang membabitkan 24 keluarga.

"Jumlah mangsa banjir terus berkurang iaitu seramai 67 mangsa ditempatkan di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan (SK) Tehel; Balai Raya Seri Mendapat (10) dan Balai Raya Kampung Seri Jeram (17)," katanya.

Berita Harian X