Ahad, 13 Ogos 2017 | 1:19am

Sambutan ulang tahun ke-50 ASEAN di KLCC

KUALA LUMPUR: Kementerian Luar akan menganjurkan perhimpunan awam meraikan ulang tahun ke-50 ASEAN di kompleks beli-belah Suria KLCC pada 14 Ogos.

Sambutan Hari Ulang Tahun Ke-50 ASEAN bertujuan memupuk kesedaran mengenai ASEAN dari kaca mata rakyat Malaysia dan juga meningkatkan pemahaman masyarakat mengenai organisasi itu dan menyuntik semangat kekitaan yang mendalam dalam kalangan rakyat Malaysia.

Pelbagai acara dirancang untuk memenuhi cita rasa kumpulan yang berbeza melalui aktiviti-aktiviti yang menyeronokkan dan bercorak pendidikan antaranya perbincangan panel, ceramah mengenai tip melancong ke luar negara dan pondok konsular.

Selain itu, aktiviti lain ialah sesi interaktif dan kuiz untuk kanak-kanak serta persembahan kebudayaan daripada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.

Kedutaan-kedutaan ASEAN di Kuala Lumpur juga dijangka mengambil bahagian dalam sambutan ini, menurut kenyataan Kementerian Luar.

Kementerian dan pejabat lain yang menyertai sambutan ialah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Pos Malaysia dan Suria KLCC.

ASEAN ditubuhkan pada 8 Ogos 1967 dan sekarang mempunyai 10 negara anggota iaitu Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina, Singapura, Brunei, Vietnam, Laos, Kemboja dan Myanmar. - BERNAMA

244 dibaca
Berita Harian X