Jumaat, 18 Ogos 2017 | 6:58pm
PAKSU di depan rumahnya yang dihiasi dengan Jalur Gemilang di Kampung Lenggong, Perak. - Foto DJ Dolasoh
PAKSU bersama Galeri Warisan Sejarah yang menjadi rujukan pelajar sekolah. - Foto DJ Dolasoh
PAKSU (dua dari kanan) di Teratak Merdeka yang dibina di halaman kediamannya di Kampung Lenggong, Perak. - Foto DJ Dolasoh

Hiasi laman sempena sambutan kemerdekaan

LENGGONG: Semangat patriotik dan cintakan tanah air yang mendalam menjadi motivasi kepada seorang penduduk di sini untuk mewajibkan dirinya dan anaknya menghiasi halaman rumah dengan Jalur Gemilang dan binaan kreatif sejak 40 tahun lalu apabila menjelang bulan kemerdekaan.

Meskipun tinggal di pedalaman, Mohd Razli Ahmad, 64, atau lebih mesra dipanggil Paksu dari Kampung Lenggong di sini, tidak mahu melepaskan peluang memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan setiap tahun menghias halaman dengan Jalur Gemilang.

Tahun ini, Paksu menggunakan tema 'Perjuangan' pada hiasan di halaman rumah dengan membina empat elemen baharu iaitu Teratak Merdeka, Bahtera Merdeka, meriam dan Galeri Warisan Sejarah.

Beliau berkata, semua hiasan itu dibina daripada bahan terbuang dan terpakai dengan bantuan anaknya, Mohd Alif, 27, dan Nor Fazlina, 40, yang turut menyumbangkan idea dalam menunjukkan perjuangan mengisi kemerdekaan bagi memastikan tiada lagi sebarang penjajahan fizikal atau minda.

"Teratak Merdeka berukuran 2.5 meter persegi saya bina di depan rumah berhampiran jalan raya utama Kuala Kangsar-Gerik bagi menyuntik semangat patriotik dan menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan.

"Teratak ini dihiasi Jalur Gemilang dan 30 gambar tokoh pemimpin negeri serta negara sebelum merdeka yang berasal dari Lenggong seperti Allahyarham Tan Sri Ghazali Jawi, Datuk Seri Ahmad Said, Tan Sri Abdul Aziz Yop, Sarif Babol serta pemimpin yang masih ada seperti Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, Tan Sri Tajol Rosli Mohd Ghazali dan Datuk Khamsiyah Yeop," katanya ditemui di rumahnya.


PAKSU (dua dari kanan) bersama Bahtera Merdeka yang dibina di halaman rumahnya. - Foto DJ Dolasoh

Binaan Bahtera Merdeka yang berukuran kira-kira tujuh meter panjang diperbuat daripada buluh hutan, dihiasi Jalur Gemilang yang menggambarkan penyelamatan daripada bencana dan sebagai alat perjuangan orang terdahulu.

Meriam pula dibina daripada tayar, besi buruk, plastik dan kotak yang dihiasi Jalur Gemilang di jalan masuk ke rumahnya sebagai simbolik rakyat yang sentiasa bersiap-siaga mempertahankan tanah air.

Galeri Warisan Sejarah pula yang asalnya garaj kereta, diletakkan pelbagai info berkaitan kemerdekaan daripada keratan akhbar dan majalah, puluhan gambar tokoh tempatan dan gambar aktiviti wanita Lenggong sejak awal 1950-an, piala dan cenderahati.

Paksu juga membuka peluang kepada pelajar sekolah, pertubuhan bukan kerajaan dan orang ramai melawat ke laman merdeka yang diwujudkannya itu.

"Sebagai orang lama yang lahir sebelum merdeka dan tahu serba sedikit, saya sendiri memberi penerangan kesemua elemen merdeka yang ada di sini.

"Saya menghias laman merdeka di depan rumah ini bagi menunjukkan rasa cintakan tanah air dan semangat patriotik yang tinggi untuk dicontohi khususnya generasi baharu," katanya.

Paksu yang juga Ketua Kampung Lenggong turut dijemput pihak sekolah sekitar Gerik dan Lenggong bagi menyampaikan Pengkisahan Kemerdekaan setiap tahun untuk memberi kesedaran supaya generasi muda menghargai kemerdekaan ini.

Tahun lalu, Paksu menjadi naib johan peringkat Perak pada pertandingan menghias merdeka bagi kategori Premis Kediaman anjuran Jabatan Penerangan.


REPLIKA meriam yang dibuat Paksu. - Foto DJ Dolasoh

326 dibaca
Berita Harian X