Isnin, 21 Ogos 2017 | 7:00am
KERATAN akhbar BH mengenai Mariam yang tinggal di Korea Selatan bertemu dengan anak-anaknya. - Foto fail NSTP/Zulkarnain Ahmad Tajuddin
KERATAN laporan BH pada 5 September 2007. - Foto fail NSTP/Zulkarnain Ahmad Tajuddin

Kenangan anak wanita Malaysia terkandas 64 tahun di Korea

KOTA TINGGI: Pasti ramai masih mengingati kisah seorang wanita rakyat Malaysia yang terkandas di Korea Selatan selama 64 tahun dan mencari tiga anaknya di Johor disiarkan BH pada tahun 2007.

Kisah Mariam Johari atau nama Koreanya, Kim Soon Ae, mendapat perhatian ramai sehingga usaha bertemu dengan semua anaknya menjadi kenyataan dan kini, kenangan itu hanya mampu diceritakan satu-satu anaknya yang masih hidup.

Bagaimanapun, Mariam meninggal dunia jam 1.20 pagi waktu Korea Selatan (kira-kira jam 12.20 tengah malam waktu Malaysia) pada 6 September 2009 ketika tidur selepas kira-kira empat bulan tidak sihat.

Anak kedua Allahyarham Mariam, Jelani Suni, 80, berkata walaupun sudah sedekad kisah ibunya disiarkan BH, banyak kenangan terutama ketika hidup bersama sewaktu kecil masih segar terpahat dalam ingatan.

BH kembali semula ke kediaman Jelani bagi menziarahi dan melihat sendiri perkembangan dan keadaan satu-satunya waris Allahyarham Mariam yang masih hidup di Taman Kota Jaya di sini, baru-baru ini.

Sekuat semangat Allahyarham ibunya, Jelani masih lagi sihat meskipun mencecah usia 80 tahun dan tinggal bersama isteri, Suria Anuwar, 62, serta anak lelaki mereka, Muhd Shafiq, 24.

"Dahulu saya berniaga makanan secara kecil-kecilan di bandar ini dan kemudian di taman ini tetapi kini saya tidak lagi bekerja dan hanya membantu isteri di rumah menyiapkan tempahan makanan.


KERATAN akhbar BH mengenai Mariam yang tinggal di Korea Selatan bertemu dengan anak-anaknya. - Foto fail NSTP/Zulkarnain Ahmad Tajuddin

JELANI menunjukkan gambar yang dirakam keluarga bersama ibunya, Mariam di Korea Selatan ketika ditemui di Taman Kota Jaya, Kota Tinggi. - Foto fail NSTP/Zulkarnain Ahmad Tajuddin

"Syukur saya masih lagi dikurniakan kesihatan yang baik dan boleh lagi menceritakan sedikit sebanyak kenangan dan peristiwa penting dalam sejarah keluarga saya suatu ketika dahulu terutama untuk anak dan cucu," katanya.

Mengimbau semula kenangan sewaktu kecil, Jelani berkata banyak kenangan dia bersama ibunya ketika mereka menetap di Kampung Sungai Tengkorak di Plentong, Johor Bahru.

"Kalau dahulu ketika waktu lapang, saya bersama ayah akan mencari kayu api sebab mak suka sangat memasak kuih bangkit dan bahulu yang juga menjadi kesukaan kami sekeluarga.

"Biasanya saya akan mencari kayu api dan kakak manakala adik perempuan akan membantu mak di dapur menyiapkan bancuhan kuih sebelum memasak sehingga satu rumah bau harum kuih," katanya sambil tersenyum apabila mengenang semula suasana ketika itu yang terpahat dalam ingatannya.

Kisah Mariam mendapat perhatian apabila akhbar terbitan kumpulan NSTP menyiarkan hasrat wanita itu mencari tiga anaknya di Plentong, Johor, pada 23 Jun 2007.

Mariam yang dilahirkan di Plentong pada 16 Mac 1921, berkahwin dengan jirannya ketika berusia 11 tahun pada 1932 dan melahirkan empat anak tetapi anak bongsunya meninggal dunia beberapa bulan selepas dilahirkan.

Ketika Perang Dunia Kedua, suami Mariam menyertai tentera, manakala Mariam dikerah menjadi buruh membina landasan kapal terbang di Senai pada 1943.

Mariam kemudian berkenalan dengan tentera kerahan Jepun dari Korea, Cho Se Won, yang membawanya ke Korea Selatan dan terkandas di negara itu.

Hasratnya bertemu semula tiga anaknya, Ramlah, Jelani dan Jamnah, akhirnya termakbul apabila produksi Korea Broadcasting System (KBS) membawa Ramlah, Jelani serta cucunya, Ahmad Onn dan menantu, Siti Zainab Noor, ke studio KBS di Seoul pada 18 Julai 2007.

Mariam dibawa pulang ke Malaysia pada 5 September 2007 dan menetap seminggu di Kota Tinggi sebelum pulang semula ke Korea Selatan pada 13 September 2007.


JELANI bersama anaknya, Muhd Shafiq menziarahi kubur Mariam di Tanah Perkuburan Kampung Makam, Kota Tinggi. - Foto fail NSTP/Zulkarnain Ahmad Tajuddin
5981 dibaca
Berita Harian X