Khamis, 24 Ogos 2017 | 7:00am

Rindu berceramah semula - bekas keldai dadah

KUALA LUMPUR: Bekas keldai dadah yang pernah diselamatkan BH daripada terus terkandas di Lima, Peru, pada tahun 2011, rindu untuk berkongsi pengalamannya dengan masyarakat menerusi ceramah seperti yang pernah dilakukan ketika awal kepulangannya ke tanah air kira-kira enam tahun lalu.

Beliau yang hanya mahu dikenali sebagai Anita, tidak kisah untuk mendedahkan kisahnya kepada masyarakat asalkan ia boleh menjadi pengajaran berguna supaya tiada lagi yang mudah terpedaya dengan tipu helah pihak tidak bertanggungjawab berkenaan.

"Enam bulan pertama pulang ke tanah air dulu memang saya aktif menyampaikan ceramah termasuk kepada pelajar di institusi pengajian tinggi di serata tanah air untuk dijadikan pengajaran kepada mereka.

"Tetapi selepas itu tiada lagi pihak mengundang saya berbuat demikian. Jika ada yang mahu saya berceramah lagi, saya bersedia melakukannya," katanya dalam satu pertemuan dengan BH, baru-baru ini.

Anita, 49, ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Jorge Chavez pada 12 Jun 2007 kerana membawa dadah jenis kokain seberat lima kilogram dan dijatuhkan hukuman penjara enam tahun empat bulan.


ANITA (kanan) ketika ditemubual wartawan BH di Balai Berita, Kuala Lumpur. - Foto fail NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Beliau dibebaskan awal selepas menjalani hukuman penjara dua tahun lapan bulan di penjara Santa Monica, Lima tetapi tidak dapat pulang ke tanah air kerana masalah kewangan.

Selepas dibebaskan pada 29 Oktober 2010, Anita mendapat perlindungan di Rumah Perlindungan Grotte of Our Lady of Lourdes yang diuruskan oleh gereja sebelum dibawa pulang ke tanah air pada tahun 2011 atas usaha BH dan Kelab Putera 1Malaysia.

Berkongsi kehidupannya sekarang, ibu tunggal itu berkata walaupun tinggal bersendirian dengan menyewa bilik, dia selesa dengan keadaan dirinya yang masih mampu mencari rezeki sebagai pencuci pejabat meskipun keadaan kesihatan merosot kebelakangan ini berikutan penyakit kencing manis yang dialaminya.

"Selagi tulang empat kerat ini masih terdaya melakukan kerja, saya tidak akan mengharapkan orang lain kerana tahu ada lagi yang lebih susah daripada saya.

"Saya gembira dan selesa di tempat kerja sekarang. Majikan saya juga amat prihatin dan cukup toleransi kerana tahu keadaan kesihatan saya," katanya.

Anita pernah bekerja di hotel di ibu negara, tetapi selepas majikan mengetahui kisah silamnya yang tersiar menerusi siaran televisyen, dia diberhentikan kerja.

"Memang saya seronok bekerja di hotel ketika itu kerana pendapatannya juga cukup lumayan berbanding kerja sekarang. Tetapi mereka tidak dapat menerima sejarah hitam yang pernah terjadi pada diri ini.


ANITA pernah bekerja di hotel di ibu negara, tetapi selepas majikan mengetahui kisah silamnya yang tersiar menerusi siaran televisyen, dia diberhentikan kerja. - Foto fail NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

"Saya rasa cukup terkilan dengan tindakan dan tanggapan buruk mereka terhadap saya ketika itu tetapi terpaksa menerimanya dengan reda," katanya.

Beliau berkata, kejadian yang berlaku itu juga menjadi antara salah satu sebab dia enggan menggunakan nama sebenar dalam temubual kali ini.

Ditanya mengenai keluarga terutama tiga anaknya, Anita tiba-tiba bertukar nada menjadi sebak dan hiba seolah-olah enggan berkongsi cerita sambil menggeleng-geleng kepalanya.

Dengan suara tersekat-sekat dan serak, dia akhirnya bersuara meluahkan perasaan seperti sukar dibendung lagi.

"Rasa menyesal pun ada balik ke Malaysia. Kalau tahu begini cara layanan mereka, lebih baik saya tinggal saja di Peru. Mereka langsung tidak peduli dan mahu ambil tahu hal saya. Saya rasa macam tak ada anak," katanya.

Anita berkata, ketika di Peru, perasaan rindu terhadap anak dan keluarga sukar digambarkan tetapi tidak menyangka kasih yang diharapkan tidak mendapat balasan daripada mereka walaupun sudah berada di depan mata.


ANITA pernah ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Jorge Chavez pada 12 Jun 2007 kerana membawa kokain seberat lima kilogram dan dijatuhkan hukuman penjara enam tahun empat bulan. - Foto fail NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

"Saya tidak mengharapkan wang ringgit daripada mereka, tetapi cukup dengan kasih sayang yang ditunjukkan. Paling penting, hormati saya sebagai ibu yang melahirkan mereka," katanya.

Anak bongsunya tinggal bersama bekas suaminya, manakala dua lagi anaknya sudah bekerja dan berkeluarga.

Sejarah hitamnya yang terjebak dengan sindiket pengedaran dadah membabitkan warga Afrika sehingga membawanya ke negara Amerika Latin hampir 10 tahun lalu membuatkan kedua anaknya sukar menerimanya semula.

"Sesekali saya ada juga balik ke kampung di rumah adik saya di Pulau Pinang. Tetapi saya enggan menyusahkannya kerana adik pun ada tanggungjawab terhadap suami dan anak-anak," katanya.

2224 dibaca
Berita Harian X