Ahad, 27 Ogos 2017 | 10:49pm
PETA kedudukan hutan Kroh atau kini dikenali dengan nama Pengkalan Hulu di Perak yang pernah menjadi kubu kepada pengganas komunis pada zaman Darurat - foto ihsan azizulbinmohamed.blogspot.my.

Sarjan Ali hilang kaki demi pertiwi

Tangkak: "Saya tidak pernah menyesal dengan apa yang berlaku pada diri saya walaupun kini saya tidak mempunyai kaki kanan akibat terkena jerangkap samar. Saya anggap ia sebagai pengorbanan kepada negara," kata Sarjan Ali Sarmin, 74.

Sarjan Ali yang berkhidmat bersama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) sejak 1964 hingga 1990 berkata, apa yang berlaku adalah suratan takdir dan berharap pengorbanannya dan rakan yang lain dapat memastikan negara ini terus aman sampai bila-bila.

Beliau berkata, pembabitannya dalam bidang ketenteraan bermula apabila diterima menyertai Askar Wataniah, sebelum diserapkan ke RAMD tidak lama kemudian.

"Waktu itu, saya hanya berusia 21 tahun dan mula menyertai pelbagai operasi menentang komunis di beberapa lokasi di negara ini seperti di Kroh, Perak; Segamat, Johor; Pulau Ketam, Selangor dan beberapa lokasi lain di Kedah.

"Dalam Ops Indera di hutan Kroh Perak menyebabkan saya kehilangan kaki kanan saya akibat terkena jerangkap samar," katanya ketika ditemui dirumahnya di Taman Tangkak Jaya di sini, semalam.


SARJAN Ali Sarmin (kiri) bersama isterinya, Minem Abd Samad (kanan) menunjukkan kaki kanannya yang terpaksa memakai kaki palsu selepas ia terpaksa dipotong akibat terkena jerangkap samar ketika menyertai Ops Indera bersama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di hutan Kroh, Perak pada 1975 ketika ditemui dirumahnya di Taman Tangkak Jaya, Tangkak. - Foto Badrul Kamal Zakaria

Sarjan Ali Sarmin menunjukkan beberapa pingat yang diterimanya ketika berkhidmat dalam angkatan tentera. - Foto ihsan Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia

Ali berkata, tragedi yang menimpa dirinya berlaku pada 9 November 1975 ketika pasukannya bersiap sedia untuk meninggalkan kawasan hutan terbabit selepas bertugas beberapa bulan di kawasan terbabit.

Mengimbau kembali detik kejadian, beliau berkata, pada mulanya beliau dan rakan sepasukannya terdengar bunyi letupan bom tidak jauh daripada lokasi mereka.

"Ketika kerja pembersihan itu, pasukan kami dipecahkan kepada beberapa seksyen dan saya berada di seksyen dua atau tiga pada masa itu. Selepas mendengar bunyi letupan, rakan saya memaklumkan mengenai anggota pasukan kami di seksyen lain terkena jerangkap samar.

"Kumpulan kami kemudian bergerak ke tempat kejadian dengan saya berjalan di hadapan. Secara tiba-tiba, sekali lagi saya terdengar letupan yang agak kuat sebelum beliau terjatuh.

"Ketika itu saya tidak menyedari saya yang terkena jerangkap samar, malah sempat menjerit kepada rakan yang lain untuk memastikan keselamatan mereka.


SARJAN Ali ketika mula menyertai perkhidmatan - Foto ihsan keluarga Sarjan Ali Sarmin

SARJAN Ali berkidmat dengan ikhlas dalam Angkatan Tentera Malaysia - Foto ihsan keluarga Sarjan Ali Sarmin

"Kejadian itu berlaku secara tiba-tiba. Saya sempat bertanya kepada rakan lain siapa yang kena (jerangkap samar). Rupa-rupanya saya yang terkena bom itu dan daripada cerita rakan saya, saya melambung tinggi akibat letupan kuat berkenaan," katanya.

Beliau berkata, keadaan hutan yang agak tebal menyebabkan helikopter bantuan terpaksa mendarat di lokasi yang agak jauh dan pasukannya terpaksa meredah kawasan cenuram dan permukaan tanah yang licin akibat hujan.

"Saya dan rakan kemudian dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang untuk mendapatkan rawatan. Pada mulanya, kaki kanan saya terpaksa dipotong hingga paras buku lali akibat tulangnya yang hancur.

"Penderitaan saya tidak berakhir di situ apabila kaki kanan sekali lagi terpaksa dipotong sehingga ke paras lutut apabila kecederaan itu tidak pulih," katanya.

Beliau berkata, selain kaki kanan yang terpaksa dipotong, kaki kiri juga turut cedera akibat terkena serpihan batu sehingga mengambil masa beberapa tahun untuk pulih berikutan urat kaki kiri putus dan luka menyebabkannya bernanah.

Ali berkata, selepas pulih beberapa tahun kemudian, beliau menyambung kembali perkhidmatannya bersama RAMD hinggalah bersara pada tahun 1990 dengan pangkat Sarjan.


SARJAN Ali pada majlis ketika berkidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia - Foto ihsan keluarga Sarjan Ali Sarmin

MONUMEN kroh antara batu peringatan mengenai serangan hendap komunis kepada pasukan keselamatan ketika zaman darurat dahulu / pix ihsan azizulbinmohamed.blogspot.my

"Saya tidak pernah menyesal dengan apa yang berlaku pada diri saya, sebaliknya berbangga dapat berkhidmat dan berkorban untuk negara. Generasi hari ini kena selalu ingat pengorbanan orang terdahulu. Keadaan sekarang tidak macam dahulu, nak sekolah pun tak ada kemudahan.

"Harapan saya, jagalah negara kita dengan baik. Bersopan santunlah... hormatilah bangsa kita, macam mana pun kita kena tegakkan bangsa kita. Kita kena saling menghormati kerana negara kita mempunyai banyak bangsa.

"Berbaik-baiklah kita semua supaya negara ini akan terus aman dan sentosa sampai bila-bila. Itulah harapan saya dan rakan-rakan yang lain sebagai anggota tentera," katanya.

BIODATA
Nama Penuh: Ali Sarmin
Usia             : 74 tahun
Tarikh Lahir  : 25 Disember 1943
Pangkat       : Sarjan
Pasukan      : Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD)
,b>Alamat          : Jalan Kenanga 2, Taman Tangkak Jaya, Tangkak. Johor
,b>Anugerah : Pingat Perkhidmatan Malaysia (PPM), Pingat Jasa Malaysia (PJM), Pingat Perkhidmatan Am (PPA)
Isteri            : Minem Abd Samad
Usia             : 66 tahun
,b>Anak           : 8 orang
,b>Cucu           : 20 orang.

Berita Harian X