Rabu, 30 Ogos 2017 | 10:55am

Pelihara semangat perpaduan: TPM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, semangat cintakan negara dan patriotisme jelas dipamer menerusi kejayaan Malaysia pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur ke-29 (KL2017).

Timbalan Perdana Menteri berkata, apabila pingat emas diraih dan Jalur Gemilang dijulang, Negaraku lantang berkumandang dan mendorong seluruh rakyat Malaysia berkobar-kobar memberi sokongan padu kepada pasukan negara.

"Saya melihat ini sebagai terjemahan semangat cinta negara. Lebih manis lagi sokongan ini diberi tanpa rasa prejudis terhadap mana-mana kaum kerana kita semua adalah bangsa Malaysia, " katanya dalam ucapan sempena sambutan Hari Kebangsaan yang disiarkan menerusi akaun media sosial rasminya.

Ahmad Zahid berkata, sambutan Bulan Kemerdekaan negara tahun ini diisi dengan acara Sukan SEA yang jelas menampilkan semangat perpaduan rakyat.

"Inilah nilai perpaduan sejati yang kita pamerkan untuk Malaysia. Kita harus kekalkan semangat ini demi negara.

"Selamat menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-60," katanya.

267 dibaca
Berita Harian X