Jumaat, 8 September 2017 | 6:38pm

Kunjungan ke Rumah Putih bincang pelbagai isu - PM

KUALA LUMPUR: Rangkaian isu serantau merangkumi kepentingan ekonomi, keselamatan dan kemanusiaan akan dibincangkan ketika lawatan rasmi ke Rumah Putih, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri menyifatkan, lawatan kerja rasmi yang menyaksikan pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada 12 September itu adalah saluran terbaik untuk mengukuhkan hubungan bilateral kedua-dua negara.

Najib berkata, kesempatan kunjungan itu akan turut dimanfaatkan untuk melobi Malaysia sebagai rakan dagang AS yang mempunyai asas kukuh, sekali gus membuka pintu pelaburan dua hala.

"Kita ada inisiatif tertentu yang akan dijalin dengan AS selepas Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) gagal dilaksana membabitkan 11 negara anggota.

"Oleh itu, inisaitif akan terarah kepada rundingan bilateral antara Malaysia-AS, berbanding perjanjian multilateral seperti yang dicanang menerusi TPPA.

"AS ketika ini adalah pelabur kedua terbesar Malaysia dan kita menyasarkan pertumbuhan ekonomi yang lebih dinamik daripada lawatan kerja rasmi ini," katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Tertinggi Barisan Nasional (BN), di sini, sebentar tadi.

Kementerian Luar sebelum ini dalam kenyataan menjelaskan Najib akan mengadakan lawatan kerja ke Washington, AS pada 12 September ini susulan jemputan Presiden Trump.

Pertemuan dua mata itu disifatkan tepat pada masanya selepas Malaysia-AS menyambut ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik, tahun ini.

Najib berkata, soal antikeganasan yang semakin memuncak dan menjadi topik perbincangan hangat di pelbagai negara serantau juga akan diketengahkan bagi menjamin kegusaran masyarakat dunia ketika ini.

Selain itu, katanya, penindasan Rohingya yang dianggap isu kemanusiaan berbanding agama akan turut dibincangkan dengan Trump, bagi memastikan kemelut itu berupaya diselesaikan secara tuntas.

"Esok saya akan lancarkan misi kemanusiaan ke Chittagong untuk membantu masyarakat Rohingya yang berlindung di sana kerana kita sudah mendapat 'lampu hijau' daripada Bangladesh," katanya.

466 dibaca
NAJIB menjawab soalan media selepas mempengerusikan Mesyuarat Tertinggi Barisan Nasional di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur. - Foto Mohd Yusni Ariffin
Berita Harian X