Sabtu, 9 September 2017 | 3:16pm

PBB perlu bertindak terhadap Myanmar

KUALA LUMPUR: Kuasa besar dunia khususnya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu bertindak tegas memberi tekanan kepada Myanmar agar menghentikan serta-merta kekejaman terhadap etnik Rohingya di Rakhine.

Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye berkata PBB tidak seharusnya terus menutup mata dengan membiarkan pembunuhan beramai-ramai sehingga ramai kanak-kanak menjadi yatim piatu, ibu bapa kehilangan anak dan wanita dirogol sebelum dibunuh kejam oleh polis dan tentera Myanmar.


PEMEGANG Amanah Yayasan 1Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye. - Foto Nik Hariff Hassan

"Kuasa besar serta PBB seharusnya campur tangan dan memberi tekanan terhadap kerajaan Myanmar yang dilaporkan terus menzalimi rakyatnya yang berketurunan Rohingya di Rakhine, memaksa ratusan ribu melarikan diri ke negara lain terutama Bangladesh.

"Walaupun banyak negara termasuk Malaysia mengutuk kezaliman kerajaan Myanmar ia seolah-olah tidak memberi kesan kerana kedegilan pihak terbabit," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Semalam, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, kerajaan Malaysia akan menyumbang bantuan makanan dan peralatan bernilai RM4 juta bagi membantu pelarian Rohingya di sempadan Bangladesh.

Timbalan Perdana Menteri berkata, bantuan itu akan dihantar melalui misi bantuan kemanusiaan hasil sumbangan kerajaan yang dibantu beberapa syarikat penerbangan untuk menghantar bekalan berkenaan.

Lam Thye yang juga Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) berkata, negara kecil seperti Malaysia tidak seharusnya mengalah, sebaliknya perlu terus memberi tekanan kepada kerajaan Myanmar, selain meneruskan bantuan terhadap penduduk Rakhine yang dizalimi.

Katanya, rakyat Malaysia pula perlu menyokong inisiatif kerajaan melaksanakan misi bantuan kemanusiaan untuk Rohingya bagi membekalkan keperluan serta bantuan segera kepada pelarian yang berlindung di sempadan Bangladesh-Myanmar.

Beliau berkata, sebagai anggota komuniti ASEAN yang berpegang teguh kepada nilai kemanusiaan dan kesejahteraan sejagat, kerajaan Malaysia harus menggunakan segala saluran yang ada untuk mendesak Myanmar supaya menyelesaikan kemelut yang berlaku.

"Inisiatif itu harus berpandukan prinsip perlindungan hak asasi manusia yang termaktub dalam Piagam ASEAN dan Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN serta resolusi yang dicapai melalui Mesyuarat Luar Biasa Majlis Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada 19 Januari lalu," katanya.

Sejak dua minggu lalu dilaporkan seramai 270,000 -etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh.

752 dibaca
Berita Harian X