Rabu, 13 September 2017 | 1:15am

Pertemuan Najib, Trump di Rumah Putih

WASHINGTON DC: Datuk Seri Najib Razak tiba di Rumah Putih untuk menemui Presiden Donald Trump dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke Amerika Syarikat (AS), pagi ini (waktu tempatan).

Beliau adalah Perdana Menteri ketiga mengunjungi Presiden AS di Rumah Putih selepas Tun Dr Mahathir Mohamad pada Januari 1984 dan Tun Abdullah Ahmad Badawi pada Julai 2004.

Kunjungan Najib atas jemputan Trump ini amat signifikan kerana diadakan sempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik kedua-dua negara.

Ketibàan Perdana Menteri di West Wing Rumah Putih pada jam 11.45 pagi, disambut oleh Trump.


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak disambut oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump setibanya di Rumah Putih, Washington, pagi ini (waktu tempatan). - Foto AFP


Pertemuan Najib, Trump di Rumah Putih. - Foto Ahmad Zaini Kamaruzzaman

Selepas itu, beliau dibawa ke Roosevelt Room untuk menandatangani buku tetamu, diikuti pertemuan empat mata dalam Oval Office Rumah Putih.

Sejurus kemudian, kedua-dua pemimpin bersama delegasi Malaysia dan AS mengadakan mesyuarat di Cabinet Room.


Mesyuarat Najib dan Trump, disertai delegasi dari kedua-dua negara, di Rumah Putih, Washington. - Foto Ahmad Zaini Kamaruzzaman

Delegasi Malaysia ialah Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa; Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Jeneral (B) Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Duta Besar Malaysia ke AS, Tan Sri Zulhasnan Rafique.

Delegasi AS pula ialah Naib Presiden, Mike Pence; Setiausaha Negara, Rex Tillerson; Timbalan Setiausaha Pertahanan, Patrick Shanahan; Ketua Staf, Jeneral John Kelly; Penasihat Keselamatan Negara, Leftenan Jeneral HR Mc Master dan Penasihat Kanan, Jared Kushner.

1621 dibaca
Berita Harian X