Rabu, 13 September 2017 | 3:54pm
DATUK Seri Subromaniam Tholasy (tengah) diiringi Pengarah Kastam Johor, Datuk Jaafar Mat Jawi (empat dari kiri) bersalaman dengan anggota Kastam ketika hadir pada majlis perasmian Pejabat Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) di Kota Tinggi. - Foto Mohd Azren Jamaluddin 

SST banyak kelemahan - Kastam

KOTA TINGGI: Cadangan untuk memansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan menggantikan semula dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) adalah langkah mustahil yang tidak pernah dilakukan mana-mana negara di dunia, kata Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk T Subromaniam.

Malah, kata Subromaniam, rekod JKDM berhubung ucapan bajet sejak 1989 menunjukkan beberapa pemimpin negara sendiri mengakui kelemahan cukai jualan yang dilaksanakan kerajaan.

Katanya, dalam ucapan Bajet 1989, Tun Daim Zainuddin yang ketika itu Menteri Kewangan, memaklumkan bahawa pengurangan dalam cukai langsung yang dicadangkan akan membawa kepada kerugian besar dalam pungutan cukai.

"Ada lagi beberapa ucapan termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjadi Menteri Kewangan pada tahun 1993 dan kita akan edarkan dan boleh didapati dalam laman sesawang JKDM yang boleh dibaca sendiri rakyat Malaysia.

"Tiada mana-mana negara yang kembali kepada sistem percukaian asal selepas melaksanakan GST dan jangan jadikan GST bahan kempen untuk jatuhkan kerajaan," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan majlis perasmian Pejabat GST baharu di daerah ini di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah JKDM Johor, Datuk Jaafar Mat Jawi dan Pegawai Daerah Kota Tinggi, Dr Badrul Hisham Kassim.

Minggu lalu, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata Cukai Jualan mesti dipulihkan jika Pakatan Harapan (PH) berhasrat menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST)

Dr Mahathir yang juga Pengerusi PH, sebelum ini mengumumkan PH akan menghapuskan pelaksanaan GST dalam tempoh 100 hari jika parti itu berjaya mengambil alih pentadbiran negara.

Subromaniam berkata, pihaknya juga akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menangani lambakan berita palsu mengenai GST dalam laman sosial.

"Saya sedih terima WhatsApp dari rakan-rakan yang berkongsi petikan laman sosial atau media alternatif yang memburukkan GST yang kita sendiri tahu ia tidak benar. Jangan anggap semua rakyat negara ini bodoh," katanya.

1350 dibaca
Berita Harian X