Rabu, 13 September 2017 | 4:41pm
DATUK Seri Najib Tun Razak bersama Presiden Donald Trump (kanan) pada perjumpaan empat mata bagi membincangkan hubungan strategik antara kedua-dua negara yang berlangsung di Pejabat Oval Rumah Putih hari ini.
Kunjungan kerja Najib adalah atas jemputan Presiden Trump ketika Malaysia-AS menyambut ulang tahun ke-60 hubungan dua hala kedua-dua negara.- Foto BERNAMA

Lawatan PM ke AS dedah fitnah pembangkang

SHAH ALAM: Pertemuan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump membuktikan segala tohmahan pembangkang adalah fitnah semata-mata.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim, berkata kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli, bahawa kunjungan Najib ke Rumah Putih adalah tidak rasmi dan tiada sambutan mengikut protokol jelas bersifat cemburu.

"Perdana Menteri yang selamat tiba di Washington dan mengadakan perbincangan bersama Presiden Amerika Syarikat menjadi satu kegusaran buat pembangkang selepas segala kenyataan buruk ditaburkan sebelum ini terbukti fitnah.

"Sedangkan ketibaan Perdana Menteri disambut baik dan diiringi oleh anggota 'Secret Service' di Pangkalan Tentera Udara Andrews sehingga ke Rumah Putih adalah antara layanan cukup istimewa diberikan oleh Amerika Syarikat kepada Perdana Menteri Malaysia.

"Ini menunjukkan Amerika Syarikat amat menghargai kepimpinan Najib dengan menjemput beliau ke Rumah Putih seterusnya mengadakan perbincangan bersama," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Irmohizam berkata, jemputan itu menjadi satu pengiktirafan dan lambang keakraban hubungan Malaysia dengan negara luar termasuk Amerika Syarikat.

"Apa yang penting, pertemuan bersejarah ini seiring dengan sambutan 60 tahun kemerdekaan Malaysia. Ini membuktikan keikhlasan Najib ingin melonjakkan nama Malaysia ke 20 buah negara teratas dunia menjelang 2050 bagi memenuhi aspirasi beliau terhadap generasi muda Malaysia," katanya.

Beliau berkata, bukan sahaja Rafizi, Tun Dr Mahathir Mohamad juga pernah mengeluarkan kenyataan bahawa Najib tidak berani ke sana kerana mungkin akan ditangkap.

"Ini menjadi satu pembohongan atas dorongan kelangsungan politik murahan pembangkang," katanya.

1433 dibaca
Berita Harian X