Sabtu, 16 September 2017 | 6:42pm
NAZRI (tengah) merasmikan Program #SayangMalaysia-Negaraku di Muzium Negara hari ini. - Foto Halim Salleh

Pembelian pesawat Boeing beri manfaat industri pelancongan

KUALA LUMPUR: Keputusan Malaysia Airlines Bhd (MAB) membeli 16 pesawat Boeing 787-9 Dreamliner dan 737 Max mampu membawa pulangan besar kepada ekonomi, di samping menggalak pemain industri pelancongan tempatan menarik lebih ramai pelancong ke Malaysia.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, berkata keputusan pembelian itu perlu dinilai dari aspek positif dengan mengambil kira pulangan bakal diperoleh negara.

Untuk meningkatkan kehadiran pelancong ke negara ini, katanya, penerbangan tempatan dari destinasi strategik dan berpotensi menyumbang terhadap kehadiran masuk pelancong.

"Sekarang ini kita banyak bergantung (penerbangan masuk dan keluar) dari London, sedangkan pelancong yang ingin ke Malaysia bukan dari United Kingdom semata-mata.

"Sebelum ini bila MAS (Malaysia Airline) menutup laluan ke beberapa destinasi Eropah, pejabat pelancongan Malaysia di sana pun tutup, maka usaha menarik pelancong terbatas," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program #SayangMalaysia-Negaraku di Muzium Negara, hari ini.

Nazri berkata, sudah tiba masanya syarikat penerbangan negara membuka lebih banyak laluan ke serata dunia bagi memperluaskan penerbangan Malaysia, di samping mengurangkan kebergantungan kepada penerbangan negara jiran.

"Sekarang ini saya pun rasa malu. Kita lihat Philippine Airlines, mereka ada pesawat sendiri yang boleh terbang ke banyak lokasi dan bandar utama dunia. Sama juga seperti Garuda Indonesia.

"Kita terpaksa bekerjasama dengan mereka untuk membawa pelancong asing ke Malaysia. Saya terpaksa buat perkara ini. Ini belum soal kita menggunakan pesawat lama.

"Philippine Airlines sudah ada kemudahan dan teknologi jauh lebih baik, mengapa kita tidak ke arah itu dan masih bergantung kepada pesawat lama," katanya.

Beliau juga berharap pembelian pesawat itu akan membolehkan lebih banyak laluan penerbangan dibuka seperti Madrid, Paris, Rome, Stockholm dan Los Angeles.

MAB sebelum ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi membeli lapan pesawat Boeing 787-9 Dreamliner dan lapan 737 Max, bernilai AS$3.06 bilion (RM19.99 bilion) berdasarkan harga senarai yang tidak merangkumi diskaun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dalam pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump di Rumah Putih, juga menyatakan kemungkinan untuk menggandakan tempahan 25 unit pesawat berbadan lebar 737 Max 10 dalam tempoh lima tahun akan datang.

445 dibaca
Berita Harian X