Sabtu, 16 September 2017 | 7:41pm
ANAK arwah Tan Sri Megat Junid Megat Ayob, Datuk Megat Fairouz Junaidi. - Foto Amran Hamid

Bapa diarah atur pertemuan Mahathir-Bush: Megat Fairouz

SINTOK: Datuk Megat Fairouz Junaidi berkata, arwah ayahnya, Tan Sri Megat Junid Megat Ayob, pernah memaklumkan beliau diarahkan mengatur pertemuan antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden George W Bush membabitkan pembayaran jutaan ringgit.

Justeru, beliau berkata pendedahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengenai perkara itu adalah benar.

"Memang benar arwah Tan Sri Megat Junid diarahkan untuk mengaturkan pertemuan di antara Tun Dr Mahathir dan Bush yang ketika itu Presiden AS.

"Usaha itu diadakan sejak April 2001 yang mana arwah melaksanakan arahan dengan berjumpa beberapa pihak termasuk membayar pelobi bagi membolehkan Tun berjumpa dengan Bush.

"Berapa jumlahnya itu saya kurang pasti tetapi difahamkan dalam jutaan ringgit ," katanya ketika ditemui di Hotel EDC Universiti Utara Malaysia (UUM), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kaitan arwah bapanya dalam isu berkenaan.

Perdana Menteri, ketika disambut pemimpin dan penyokong Barisan Nasional di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam tadi, mendedahkan Tun Dr Mahathir semasa pentadbirannya membayar jutaan ringgit untuk bertemu dengan Presiden AS.

Najib berkata, tindakan itu dilakukan melalui seorang pelobi yang bermastautin di Hong Kong dan ia dibayar melalui kontrak Tenaga Nasional Berhad (TNB).

"Berjuta dibayar kerana nak sangat berjumpa dengan Bush tapi Dr Mahathir tidak dapat sambutan macam saya (pertemuan dengan Presiden AS, Donald Trump di AS).

"Jadi jangan (Dr Mahathir) jadi hipokrit, kutuk pula lawatan saya (ke AS). Lawatan ini bukan kerana saya tapi kerana Malaysia. Hubungan baik dengan China, Arab Saudi dan AS adalah untuk Malaysia," katanya.

Megat Fairouz berkata, arwah bapanya adalah pekerja yang taat setia kepada pemimpin dan akan melaksanakan arahan daripada ketuanya, iaitu Tun Dr Mahathir yang ketika itu Perdana Menteri.

"Kejayaan untuk bertemu dengan Presiden Bush amat diperlukan Tun bagi menaikkan semula 'rating' beliau di kaca mata pihak pentadbiran AS.

"'Rating' Tun tercalar susulan kenyataan bekas Naib Presiden AS, Al Gore yang kurang disenangi Tun pada APEC Summit di Kuala Lumpur pada 1998," katanya.

15863 dibaca
Berita Harian X