Ahad, 17 September 2017 | 3:14pm
ORANG ramai datang untuk melihat Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang terbakar di Kampung Datuk Keramat. - Foto Eizairi Shamsudin

Tragedi bukan tiket kritik pusat tahfiz

KUALA LUMPUR: Tragedi kebakaran yang menimpa Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah tidak harus dijadikan tiket untuk mengkritik keseluruhan organisasi tahfiz di negara ini.

Bendahari Kehormat, Persatuan Institusi Tahfiz Al Quran Kebangsaan, Maulana Mohd Dailami, berkata adalah tidak adil tragedi yang mengorbankan 23 nyawa itu dijadikan ukuran bagi menilai keseluruhan pendidikan di institusi tahfiz.

Katanya, masih banyak kelemahan dan ruang yang boleh diperbaiki bagi mempertingkatkan kecemerlangan institusi tahfiz dalam negara.

"Pada masa ini, 80 peratus daripada pusat tahfiz di negara ini adalah tahfiz swasta, manakala selebihnya milik kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat.

"Sektor swasta telah menampung jumlah keperluan pendidikan agama yang besar dalam masyarakat.

"Sepatutnya ia dibimbing dan diberi kerjasama yang selayaknya oleh pihak berkuasa," katanya dalam kenyataan bagi menjawab kenyataan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berhubung pendidikan di institusi tahfiz di negara ini.

Mohd Asri dalam satu kenyataannya dilaporkan berkata, membuka dan menguruskan pusat tahfiz memerlukan keikhlasan tetapi keikhlasan saja tidak mencukupi, sebaliknya ia harus disertai dengan kemampuan mereka untuk mematuhi syarat yang disediakan kerajaan.

"Kita tahu mahaad tahfiz di mana-mana saja tidak memenuhi -syarat sepenuhnya, tetapi oleh kerana sentimen agama, pihak berkuasa pun takut (untuk ambil tindakan) kerana dianggap menghalang," katanya.

Maulana yang juga Pengerusi Persatuan Ihtimam Tahfiz Al Quran Selangor berkata, Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA) sudah pun menyediakan pelan strategik 2017-2021 untuk hala tuju sekolah tahfiz di negara ini melalui Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN), yang dipersetujui pada April 2016.

"Melalui Pelan Strategik 2017-2021 dalam bab 5, Hala Tuju PINTA 2017-2021 mendapati bahawa peserta makmal Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) bersetuju memperkenalkan empat jenis model Pendidikan Tahfiz untuk semua pihak bagi menawarkan perkhidmatan mereka.

"Empat model itu ialah Pengajian Akademik dengan Program Tahfiz; Pengajian Tahfiz dengan Program Akademik; Pengajian Tahfiz dengan Program Kemahiran dan Pengajian Tahfiz Tulin Ulama' Rabbani," katanya.

Mengulas dakwaan Mohd Asri mengenai sekolah tahfiz yang tidak berkualiti, beliau mempertikaikan perkara itu kerana bukan hanya sekolah bidang tahfiz sedemikian, malah banyak sekolah konvensional juga tidak berkualiti.

"Asas apakah yang menjadi kayu ukur kualiti sesebuah sekolah? Adakah hanya dengan prasarana yang canggih dan baik saja? Kelengkapan yang terkini dan suasana pembelajaran yang moden?

"Saya berpendapat, sekolah yang berkualiti ialah sekolah yang mampu mencapai maksud ia dibina, hakikatnya sekolah yang mampu melahirkan insan yang cemerlang dari segi ilmu dan didikan akhlaknya.

"Bukan sekadar prasarana yang canggih saja yang diketengahkan sebagai penanda aras kepada kualiti sesebuah sekolah," katanya.

Beliau menegaskan, sejarah membuktikan sekolah pondok yang serba daif juga mampu melahirkan insan dan tokoh yang tinggi budi pekertinya dan besar curahan jasanya kepada masyarakat.

"Ibu bapa sudah semestinya tidak berbangga dengan kejayaan anak mereka yang memperolehi sijil dan ijazah yang bergulung-gulung, tetapi mempunyai sahsiah diri yang teruk dan akhlak yang buruk.

"Dengan kes akhlak dan masalah dadah yang amat menakutkan pada zaman ini, tidak keterlaluan saya sebutkan bahawa pusat tahfiz dalam negara ini menjadi satu daripada penyumbang utama bagi membendung wabak dadah dan gejala akhlak yang keji dalam kalangan remaja.

"Menilai keikhlasan niat seseorang itu bukanlah amalan Salafussoleh dan contoh teladan yang baik.

"Jika niat suci pemilik tahfiz dipertikai, maka luaslah sasaran yang boleh dinilai, niat keikhlasan Mufti juga boleh dinilai, namun saya berlindung diri daripada perbuatan sebegitu," katanya.

Beliau berkata, kes menggunakan pelajar meminta derma adalah kes yang perlu diperhalusi dan ditangani bersama, serta bagaimana membersihkan nama institusi tahfiz daripada sindiket tertentu yang mencemarkan nama baik pusat tahfiz.

"Perkara ini juga menjadi kebimbangan yang mahu dielakkan daripada berlaku dalam masyarakat," katanya.

Maulana turut menegur kebimbangan orang ramai untuk menghantar anak ke pusat tahfiz kerana yang lebih utama dirisaukan adalah apabila ibu bapa tidak menitikberatkan aspek agama dalam mendidik anak.

"Justeru, bagi menyelamatkan masa depan anak-umat Islam, didikan agama daripada asas perlu diterap ke dalam masyarakat.

"Tahfiz adalah satu cabang kepada asas pendidikan agama. Jika kita tidak mendidik pemikiran generasi baru dengan agama, orang lain akan datang dan bentuk pemikiran anak ini dengan corak pemikiran yang mereka mahukan," katanya.

2963 dibaca
Berita Harian X