Isnin, 18 September 2017 | 2:41pm
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak disambut Presiden Donald Trump ketika tiba bagi membincangkan hubungan strategik antara kedua-dua negara di Rumah Putih, minggu lalu. - Foto BERNAMA

Najib pulihkan kesan kepincangan Tun M

KUANTAN: Lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke Amerika Syarikat (AS) dapat membantu memulihkan ekonomi negara dan Malaysia Airlines, akibat kepincangan pemimpin terdahulu.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin, berkata lawatan Najib ke AS, termasuk bertemu Presidennya, Donald Trump juga mematikan dakwaan pembangkang bahawa Perdana Menteri akan ditangkap berikutan siasatan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang itu berkata, negara besar seperti AS menerima baik lawatan Perdana Menteri dan ia membolehkan Malaysia menjalinkan hubungan positif yang berbeza dengan pendekatan Tun Dr Mahathir Mohammad sehingga mendedahkan negara kepada pelbagai serangan seperti berlaku krisis ekonomi pada 1998.

"Boleh dikatakan Perdana Menteri kini (Najib) sedang memulihkan kesan akibat kepincangan dilakukan pemimpin itu (Dr Mahathir).

"Ia termasuk soal pemulihan MAS yang dahulu terpaksa 'diselamatkan' kerajaan dengan membelinya lebih daripada harga saham semasa selepas ia diswastakan di era pentadbiran pemimpin berkenaan.

"MAS membeli pesawat Boeing di Amerika Syarikat untuk mengembangkan operasinya selaras dengan pelan pemulihannya yang sudah menampakkan hasil positif di bawah pentadbiran Najib," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.


AHLI Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin. - Foto fail NSTP/Muhd Asyraf Sawal

Mohd Sharkar turut menempelak kritikan pembangkang terhadap pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di AS sedangkan Dr Mahathir sendiri pada 2005 mencadangkannya meningkatkan pelaburan di luar negara.

"Dahulu beliau sendiri cadangkan perkara yang sama (KWSP melabur di luar negara) tetapi sekarang kata lain pula.

"KWSP turut mempunyai prosedur tertentu yang perlu dipatuhi sebelum sejumlah dana dilaburkan dalam pelaburan dalam atau luar negara.

"Kita yakin syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ini sudah meneliti pelbagai aspek bagi membuat sebarang pelaburan," katanya.

Justeru, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri itu berkata, pembangkang tidak seharusnya mempolitikkan pelaburan KWSP di luar negara, termasuk di AS sehingga menyebabkan rakyat keliru dan timbul kebencian berdasarkan fakta yang tidak benar.

Selain itu, Mohd Sharkar, yang juga Ketua UMNO Bahagian Temerloh mengalu-alukan penyertaan semula bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib dalam UMNO

"Selepas hampir lima tahun dalam pembangkang, beliau kini sedar hanya UMNO dapat memperjuangkan nasib orang Melayu dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

"Ia adalah satu perkara positif. Penyerahan borang beliau sebagai ahli UMNO diterima presiden semalam kerana statusnya sebagai seorang bekas Naib Presiden UMNO dan pemimpin negara. Ia tidak seharusnya dipertikaikan mana-mana pihak," katanya.

2285 dibaca
Berita Harian X