Selasa, 19 September 2017 | 4:45pm
BEKAS Duta Besar Malaysia ke AS, Datuk Dr Awang Adek Hussin. - Foto Yazit Razali

Tindakan melobi jumpa Presiden AS memalukan - Bekas duta

KUALA LUMPUR: Tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad melobi untuk berjumpa Presiden Amerika Syarikat (AS), George W Bush ketika beliau menjadi Perdana Menteri pada 2002, adalah sesuatu yang memalukan.

Bekas Duta Besar Malaysia ke AS, Datuk Dr Awang Adek Hussin, berkata apa yang didedahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Jumaat lalu mengenai tindakan Dr Mahathir membayar jutaan ringgit untuk berjumpa Bush, adalah benar.

Bercakap pada sidang media di sini hari ini, beliau berkata: "Saya sebenarnya tahu dan ada maklumat tindakan melobi (oleh Dr Mahathir). Saya tak mahu sebut nama rakan yang terbabit dalam urusan melobi ini kerana semua sudah meninggal dunia".

"Jumlah sebenar yang dibayar untuk melobi ini saya tak ingat, tetapi memang sehingga berjuta ringgit.

"Namun, saya lega kerana sepanjang jadi duta (2014-2016) dan sehingga sekarang, kita tak pernah lobi atau bayar duit untuk jumpa Presiden AS seperti pernah dilakukan sesetengah negara lain termasuk Perdana Menteri kita yang dulu untuk berjumpa Presiden Bush.

"Ia sesuatu yang memalukan," katanya sambil menegaskan, jemputan Presiden Donald Trump kepada Najib minggu lalu adalah satu penghormatan yang harus diterima baik.

Pada Jumaat lalu, Najib mendedahkan, Dr Mahathir ketika pentadbirannya sebagai Perdana Menteri, membayar jutaan ringgit melalui kontrak Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk bertemu Bush menerusi pelobi bermastautin di Hong Kong.

Awang Adek berkata, Trump dan Najib memang berkawan baik, malah Presiden AS itu sering merujuk Perdana Menteri 'my best friend Prime Minister' atau 'my favourite Prime Minister'.

"Sewaktu saya (menjadi Duta Besar Malaysia) di AS dan ketika Trump belum jadi Presiden, Datuk Seri Najib sering memberitahu saya bagaimana beliau bermain golf dengan Trump. Jadi mereka berkawan.

"Layanan (ketika lawatan Perdana Menteri) cukup baik, isu dibincangkan merangkumi serantau dan dunia. Kehadiran semua pemimpin tertinggi AS (pada pertemuan Trump-Najib), saya rasa tidak ada yang ketinggalan, termasuk Naib Presiden, Setiausaha Negara, Penasihat Keselamatan Negara, semua ada.

"Ia sesuatu yang jarang berlaku, menunjukkan perhatian yang diberikan AS kepada Malaysia adalah cukup penting dan menunjukkan juga betapa tingginya pandangan AS kepada kita," katanya.

1689 dibaca
Berita Harian X