Khamis, 21 September 2017 | 3:29pm
DATUK Seri Jamil Khir Baharom. - Foto Mohd Fadli Hamzah
SEKUMPULAN pelajar tahfiz membaca Al Quran. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Dua aliran antara fokus tambah baik sekolah tahfiz

KUALA LUMPUR: Kurikulum dua aliran, tahfiz dan akademik adalah antara fokus utama perbincangan yang akan diadakan kerajaan dengan pengendali pusat tahfiz, Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan kerajaan negeri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata menerusi Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN), setiap pelajar tahfiz disasar mempunyai kelulusan pendidikan formal sekurang-kurangnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Katanya, selain akademik, DPTN juga menyediakan garis panduan kepada sekolah tahfiz seperti kokurikulum, tenaga pengajar, prasarana dan aspek keselamatan yang akan diterangkan secara terperinci kepada pihak berkepentingan dalam pertemuan yang akan berlangsung dalam masa terdekat.

Menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) antara pelbagai kementerian dan agensi penguat kuasa, pihaknya akan melihat ruang untuk mempertingkatkan dan memperkasa pendidikan tahfiz menerusi pelaksanaan DPTN di sekolah tahfiz termasuk yang tidak berdaftar dengan kerajaan negeri.

"Kita berusaha memperkasa sekolah tahfiz termasuk berkaitan dengan silibus yang dicadangkan dalam DPTN di mana menerusi dasar itu, kita memperkenalkan kurikulum bersekali dengan akademik termasuk di peringkat SPM, sekurang-kurangnya pelajar tahfiz mempunyai dua aliran dan kelulusan iaitu SPM dan tahfiz al-Quran.

"Kita mahu DPTN ini difahami sepenuhnya oleh semua pihak khususnya pemilik sekolah tahfiz. Oleh itu tidak timbul soal sama ada dasar ini kemungkinan akan diwajibkan kepada semua sekolah tahfiz kerana kita menyedari urusan agama berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri," katanya kepada BH, hari ini.

Kabinet semalam bersetuju dengan enam syor yang dikemukakan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Pasukan Petugas Khas Sekolah-Sekolah Tahfiz termasuk meminda Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) untuk menaik taraf sekolah berkenaan.

Syor oleh jawatankuasa dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu yang dikemukakan kelmarin, bertujuan mengubah landskap pendidikan tahfiz merangkumi aspek akademik, kokurikulum dan keselamatan.

Untuk itu, Jamil Khir diarah untuk memulakan perbincangan dengan semua kerajaan negeri.

Mengulas lanjut, Jamil Khir berkata, usaha ke arah itu sudah dimulakan sebaik Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang dihadiri wakil MAIN bersama Menteri Besar dan Ketua Menteri masing-masing bermesyuarat kelmarin yang antara lain membincangkan DPTN dan langkah penambahbaikan sekolah tahfiz.

Beliau berkata, perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat itu akan dibentangkan secara terperinci apabila kementeriannya turun ke setiap negeri untuk mengadakan pertemuan sekali lagi dengan MAIN terutama menyembah maklum kepada Ketua Agama Negeri iaitu Sultan mengenai usaha kerajaan menambah baik sistem pendidikan sekolah tahfiz tanpa membelakangkan bidang kuasa dan hak negeri terhadap institusi pendidikan agama itu.

"Insya-Allah kami akan menemui pengendali atau pemilik pusat tahfiz sama ada yang berdaftar atau tidak sama ada secara berpusat atau di setiap negeri bagi menerangkan lebih lanjut usaha kerajaan dalam memperkasakan sistem pendidikan sekolah tahfiz," katanya.

Jamil Khir berkata, Kabinet semalam memutuskan beberapa tindakan penambahbaikan bagi memastikan aspek keselamatan khususnya ciri-ciri pendawaian bangunan.

Beliau berkata, tumpuan utama kementerian adalah untuk bertemu dengan pengendali pusat tahfiz melalui kerajaan negeri dan MAIN.

Katanya, pada masa sama, pihaknya mendapat kerjasama daripada kementerian dan agensi kerajaan terutama Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah melalui GiatMARA yang turun padang bagi meninjau dan memperbaiki sistem pendawaian bangunan sekolah tahfiz selain kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang akan melihat keperluan keselamatan bangunan.

587 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »