Khamis, 12 Oktober 2017 | 8:52pm
MASJID Sayyidina Ali Bukit Katil, Melaka.

Mahaad tahfiz tawar diploma

STIGMA masyarakat terhadap sekolah pondok atau maahad tahfiz sering merujuk kepada pandangan yang negatif seperti kes buli membabitkan pelajar dan tiada masa depan.

Namun, pandangan itu semakin berubah dengan perubahan positif diambil oleh sebahagian pengurusan maahad tahfiz.

Kini, kebanyakan ibu bapa berlumba-lumba menghantar anak ke maahad tahfiz yang menawarkan program pengajian terbaik serta diiktiraf dengan harapan supaya mereka mendapat kejayaan di dunia serta akhirat.


KETUA Menteri, Datuk Seri Idris Haron melihat pelan pembinaan Maahad Tahfiz al-Quran Sayyidina Ali Jabatan Agama Islam Melaka di tanah seluas dua ekar selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Maahad Tahfiz al-Quran Sayyidina Ali Jabatan Agama Islam Melaka Ogos lalu. Turut menyaksikan Pengerusi Masjid Sayyidina Ali, Tan Sri Mohd Ali Mohd Rustam (kiri), di Bukit Katil. - Foto Noor Azurin Mohd Sharif.

Tidak dinafikan, terdapat maahad tahfiz yang berjaya melahirkan cendikiawan al-Quran dan pengajian Islam seperti Maahad Tahfiz Al-Quran Masjid Sayyidina Ali (MTQMSA), yang pertama di Melaka menawarkan program diploma.

Berbekalkan visi mewujudkan institusi pendidikan al-Quran terunggul bertaraf antarabangsa, MTQMSA di bawah kelolaan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) diwujudkan pada tahun 2010 dan memulakan operasi di Masjid Sayyidina Ali, Bukit Katil, dengan pengambilan kumpulan pelajar pertama seramai 14 orang.

Pada tahun 2015, MTQMSA mewujudkan cawangannya di Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara.


KETUA Menteri, Datuk Seri Idris Haron melihat pelan pembinaan Maahad Tahfiz al-Quran Sayyidina Ali Jabatan Agama Islam Melaka di tanah seluas dua ekar selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Maahad Tahfiz al-Quran Sayyidina Ali Jabatan Agama Islam Melaka Ogos lalu. Turut menyaksikan Pengerusi Masjid Sayyidina Ali, Tan Sri Mohd Ali Mohd Rustam (kiri), di Bukit Katil. - Foto Noor Azurin Mohd Sharif.

Menurut Pengetua MTQMSA, Mohd Said Md Amin, sehingga kini, maahad tahfiz berkenaan sudah menerima seramai 343 pelajar dan 54 daripadanya berjaya melanjutkan pelajaran di Mesir, selain di universiti tempatan serta luar negara.

Beliau berkata, program Diploma Tahfiz MTQMSA menggunapakai kurikulum Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang menuntut setiap pelajar menduduki peperiksaan ditetapkan institusi berkenaan.

Katanya, turut membanggakan MTQMSA adalah maahad tahfiz pertama menawarkan kursus Kokurikulum Falak bagi kedua-dua program diploma iaitu Diploma Tahfiz Al-Quran dan Qiraat serta Diploma Tahfiz Al-Quran dan Pengurusan Halal.

"Kursus kokurikulum itu dijalankan dengan kerjasama Bahagian Falak Syarie Jabatan Mufti Negeri Melaka ditawarkan kepada pelajar tahun pertama semester kedua. Tempoh kursus selama satu semester bertujuan melahirkan huffaz yang memiliki pengetahuan dalam bidang falak," katanya.

Sementara itu, Presiden Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), Tan Sri Mohd Ali Mohd Rustam, berkata kerajaan bersedia mendirikan sebuah kompleks pengajian al-Quran bernilai RM4 juta di Masjid Sayyidina Ali, Bukit Katil, yang bakal dikenali sebagai Institut al-Quran Sayyidina Ali (IQSA) apabila siap kelak.


KETUA Menteri, Datuk Seri Idris Haron merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Maahad Tahfiz al-Quran Sayyidina Ali (MTQMSA) Jabatan Agama Islam Melaka yang turut disaksikan Pengerusi Masjid Sayyidina Ali, Tan Sri Mohd Ali Mohd Rustam, di Bukit Katil Ogos lalu. - Foto Noor Azurin Mohd Sharif

Katanya, projek pembinaan bermula pertengahan Ogos lalu membabitkan peruntukan Kerajaan Persekutuan, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Yayasan DMDI akan mengambil tempoh kira-kira dua tahun.

Institut dibina di atas tanah seluas 0.8 hektar itu akan mempunyai bilik kuliah dan pentadbiran sendiri, mampu menampung sehingga 120 pelajar.

"Apabila beroperasi kelak, ia bukan sahaja menjadi pusat melahirkan pelajar yang hafal al-Quran, juga tenaga mahir dalam penyelidikan ilmu al-Quran dan hadis," katanya.

INFO

Sejarah MTQMSA

  • Maahad Tahfiz Al-Quran (MTQ) ditubuhkan pada Januari 1983 di Masjid Al-Amin, Kelemak, Alor Gajah, Melaka dengan penyertaan 20 pelajar secara separuh masa.
  • MTQ dirasmikan pada Jun 1983 dengan nama baharu Maahad Tahfiz Al-Quran Negeri Melaka (MTQNM) dan berpindah ke Bangunan MAIM, Jalan Pasar Baru Melaka pada tahun 1989.
  • Pada tahun 1991, Sijil MTQNM diiktiraf Lembaga Peperiksaan Malaysia sebagai Diploma Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat yang beroperasi di Pusat Islam Kuala Lumpur.
  • Bermula tahun 1992, MTQNM berpindah ke Masjid Al-Azim Negeri Melaka.
  • Sejak 2010, MTQNM beroperasi di Masjid Sayyidina Ali, Bukit Katil dengan nama Maahad Tahfiz Al-Quran Masjid Sayyidina Ali (MTQMSA).

Berita Harian X