Khamis, 12 Oktober 2017 | 9:57pm
DATUK Seri Fadillah Yusof.- Foto Asyraf Hamzah

Terowong: Kerajaan P Pinang jangan putar belit

KUALA LUMPUR: Kerajaan DAP Pulau Pinang dinasihatkan supaya tidak menuding jari serta memutar belit kenyataan berhubung pembinaan jambatan menggantikan terowong dasar laut, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata, keputusan membina jambatan menggantikan terowong dasar laut itu sebenarnya dibuat oleh kerajaan negeri tanpa campur tangan daripada Kementerian Kerja Raya (KKR).

Katanya, kerajaan negeri yang pada mulanya menghantar surat pada awal tahun lalu kepada KKR untuk mendapatkan kelulusan pembinaan jambatan bagi mengganti terowong dasar laut berkenaan.

"Mereka juga berjanji untuk menghantar laporan kajian pembinaan terowong itu yang membabitkan kos RM305 juta yang mana RM220 juta disahkan sudah dibayar kerajaan negeri menjelang hujung tahun lalu.

"Selepas beberapa kali mungkir janji, kerajaan Pulau Pinang juga yang menyatakan mereka tidak akan menghantar laporan kajian atas alasan pelaksanaan projek itu tidak perlu disegerakan.

"Kini, mereka memohon daripada saya untuk meluluskan projek berkenaan tanpa sokongan dokumen," katanya dalam satu kenyataan hari ini yang menjawab dakwaan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan Awam negeri, Lim Hock Seng.

Beliau berkata, kerajaan Pulau Pinang dilihat gagal menjawab soalan daripada Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, yang bertanya mengapa pihak kontraktor diberi tol konsesi selama 30 tahun sedangkan pembinaan terowong terbabit dibayar sepenuhnya oleh kerajaan negeri.

"Kebiasaannya, pihak swasta akan mengumpul dana sendiri untuk membina projek sebelum diberi hak konsesi tol supaya dapat menjana semula jumlah perbelanjaan mereka.

"Daripada menjawab soalan berkenaan, kerajaan Pulau Pinang membuat keputusan untuk membina jambatan menggantikan terowong terbabit," katanya.

640 dibaca
Berita Harian X