Jumaat, 13 Oktober 2017 | 12:37pm
PENGERUSI Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor, Datuk Ayub Rahmat (tengah) bersama Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah (tiga dari kiri) menyampaikan replika cek sumbangan biasiswa kepada pelajar ketika Majlis Pelancaran SSPN-i Plus Peringkat Johor, di Ekspo Johor Berkemajuan 2017 di Johor Bahru, hari ini. - Foto Mohd Azren Jamaludin

SSPN-i Plus peringkat Johor dilancar

JOHOR BAHRU: Sebanyak 3,386 akaun SSPN-i Plus dibuka di Johor dengan jumlah deposit terkumpul sebanyak RM1.4 juta dan jumlah manfaat perlindungan takaful hingga RM166.7 juta sejak 2015 sehingga 31 Ogos lalu.

Sejajar perkembangan itu, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, mengajak rakyat dan Bangsa Johor merebut peluang dengan membuka serta menambah simpanan dalam akaun SSPN-i Plus sebagai pilihan penabungan pendidikan terbaik.

Katanya, masih ramai rakyat Johor belum membuka akaun berkenaan.

"Kemudahan dan peluang sudah disediakan kerajaan, maka ibu bapa jangan berlengah. Mulakan penabungan melalui SSPN-i Plus," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Majlis Pelancaran SSPN- i Plus Peringkat Johor, di Ekspo Johor Berkemajuan 2017 di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor, Datuk Ayub Rahmat.

Yang turut hadir, Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Bagi meningkatkan kesedaran produk baharu itu, Mohamed Khaled menyarankan PTPTN memperhebatkan promosi ke semua agensi kerajaan dan swasta di Johor.

Katanya, masyarakat perlu membuka minda bahawa adalah sukar bagi anak mereka meneruskan pengajian dan cita-cita tanpa perancangan kewangan yang baik.

Bermula tahun lalu, katanya, Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) bekerjasama dengan PTPTN untuk memberikan sumbangan Biasiswa Kenangan Dato' Onn (BKDO) berupa akaun SSPN-i.

"Sejak tahun lalu hingga kini, sejumlah RM725,600 diperuntukkan untuk penerima BKDO dengan pelajar Tingkatan Satu sehingga Tingkatan Lima menerima RM600, manakala pelajar Tingkatan Enam menerima RM1,000," katanya.

158 dibaca
Berita Harian X