Jumaat, 13 Oktober 2017 | 3:05pm
PENGERUSI Gerakan Akar Umbi UMNO Malaysia dan Pro BN, Datuk Zulkarnain Mahdar, menunjukan salinan berita sebuah laman web pada sidang media selepas menghantar maklumat tambahan kes rasuah babitkan peruntukan luar bandar di Sabah, di luar Bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya. - Foto Abd Rahim Rahmat

Penyelewengan dana di Sabah: GAUM beri maklumat baharu

PUTRAJAYA: Gerakan Akar Umbi UMNO Malaysia (GAUM) menyerahkan beberapa maklumat baharu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini bagi membantu siasatan penyelewengan dana awam berjumlah RM1.5 bilion di Sabah.

Presidennya, Datuk Zulkarnain Mahdar, berkata kehadirannya ke SPRM itu adalah atas dasar tanggungjawab sebagai rakyat Sabah dan bukan atas arahan mana-mana orang atasan.

Katanya, isu penyelewengan berkenaan pernah dibangkitkan sejak 2011 oleh beberapa individu lain, termasuk Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Dr Hiew King Cheu dari DAP dan Angkatan Muda Keadilan Sabah.

"Kami tampil untuk memberi maklumat tambahan mengenai isu yang hangat diperkatakan kini, namun saya tidak dapat mendedahkan maklumat berkenaan secara terperinci.

"Saya juga bersedia jika dipanggil oleh SPRM untuk membantu penyiasatan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas memberikan maklumat tambahan berkaitan siasatan yang sedang dijalankan SPRM itu di ibu pejabat SPRM, di sini.

Zulkarnain berkata, walaupun laporan sudah dibuat sejak 2011 tetapi kebiasaannya SPRM perlu meneliti terlebih dahulu laporan yang diberikan itu sebelum tindakan diambil.

"Kebetulan tangkapan dibuat pada waktu ini yang dikatakan waktu yang hampir untuk pilihan raya. Perkara ini digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk memanipulasi cerita kononnya BN mempergunakan SPRM.

"Kita sedia maklum dengan kredibiliti SPRM menjalankan tugas tanpa mengira pangkat atau fahaman politik seseorang individu. Jika individu berkenaan terbabit, dia harus disiasat," katanya.

Sehingga kini, enam individu sudah ditahan bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana untuk projek luar bandar di Sabah itu yang disalurkan melalui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dari tahun 2010 hingga 2016.

1079 dibaca
Berita Harian X