Jumaat, 13 Oktober 2017 | 5:23pm

MRT Corp raih anugerah berprestij Be Inspired 2017

KUALA LUMPUR: Penggunaan teknologi Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) dalam projek Tren Transit Aliran Massa (MRT) Lembah Klang membolehkan Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) memenangi anugerah berprestij Be Inspired 2017.

MRT Corp memenangi anugerah bagi kategori Kemajuan Rel dan Transit, sekali gus mengiktiraf kejayaan penggunaan teknologi BIM dalam reka bentuk dan pembinaan MRT laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP).

Kemenangan itu menyaksikan MRT Corp mengatasi dua calon lain iaitu, China Railway Eryuan Engineering Group Co Ltd untuk penggunaan strategi BIM bagi projek kereta api dari Dali ke Ruili, dan Jacosbs/Zephyr UAS untuk pemetaan 42 batu (67.59 kilometer) bagi Koridor Rel Berkelajuan Tinggi California dengan menggunakan kenderaan udara tanpa pemandu.

MRT Corp dalam kenyataan media hari ini, berkata anugerah Be Inspired disampaikan pada majlis makan malam, malam tadi dan ia adalah sebahagian daripada persidangan Year in Infrastructure 2017 yang diadakan selama tiga hari, berakhir semalam di Marina Bay Sands, Singapura.

Anugerah berprestij Be Inspired oleh Bentley Systems adalah anugerah tahunan yang memberi penghargaan kepada pengguna sistem Bentley di atas kerja terunggul dalam usaha memajukan reka bentuk infrastruktur, pembinaan dan operasi di seluruh dunia.

Bentley Systems, sebuah syarikat memajukan perisian yang menyokong keperluan profesional pengguna yang bertanggungjawab untuk mencipta dan mengurus infrastruktur, termasuk jalan raya, jambatan, lapangan terbang, bangunan pencakar langit, kilang industri dan jana kuasa serta rangkaian utiliti di seluruh dunia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Seri Shahril Mokhtar yang menerima anugerah bagi pihak organisasi berkata, kejayaan menerima anugerah berprestij itu adalah satu detik yang membanggakan bagi MRT Corp dan Malaysia.

"Anugerah ini mengiktiraf projek MRT Lembah Klang sebagai projek yang berada di depan dalam menerapkan teknologi maklumat yang terkini, bukan saja di rantau Asia tetapi di seluruh dunia," katanya.

Beliau berkata, penggunaan teknologi BIM menghasilkan kecekapan dan ketepatan yang lebih baik dalam reka bentuk dan pembinaan laluan SSP, sekali gus akan membantu penjimatan masa dan kos.

"Menerapkan teknologi yang serba canggih ini amat penting untuk memastikan laluan SSP disiapkan tepat pada masa dan menepati kos sasaran," katanya.

Pada tahun ini, 409 projek dari 52 negara dicalonkan untuk menerima anugerah Be Inspired di bawah pelbagai kategori. Pencalonan dinilai oleh 10 panel juri bebas terdiri daripada pakar industri yang terkemuka.

Penggunaan teknologi BIM bagi pembinaan laluan SSP bukan hanya dalam menggunakan pemodelan tiga dimensi pintar untuk reka bentuk dan pembinaan yang akan banyak mengurangkan konflik dalam reka bentuk tetapi juga dalam kecekapan perkongsian aksesibiliti kepada data pemodelan oleh lebih 1,500 pengguna daripada pelbagai organisasi yang terbabit.

Laluan SSP sepanjang 52.2km adalah laluan kedua projek MRT Lembah Klang yang dibangunkan. Laluan ini akan mempunyai 35 stesen, 11 daripadanya ialah stesen bawah tanah. Pada akhir September lalu, kemajuan pembinaan laluan berada pada 15.2 peratus.

133 dibaca
Berita Harian X