Jumaat, 13 Oktober 2017 | 6:06pm
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah) diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman (kanan) meletakkan alat canting sebagai gimik perasmian Karnival Pertubuhan Kebangsaan 2017 di Dataran Pantai Batu Buruk. - Foto Rozainah Zakaria

Gabung persatuan sama kegiatan, mudah dapat dana

KUALA TERENGGANU: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, gabungan persatuan yang mempunyai aktiviti serta matlamat sama, bukan sahaja memberi lebih manfaat kepada ahli, tetapi turut memudahkan kerajaan menyalurkan dana serta bantuan.

Justeru itu, Timbalan Perdana Menteri menyifatkan langkah penggabungan juga dapat mengelak persatuan yang berkongsi persamaan itu kerugian apabila sukar memperoleh bantuan kewangan daripada kerajaan bagi memantapkan operasi.

Beliau memberikan contoh, Gabungan Persatuan Permotoran Malaysia (GPPM) yang menggabungkan persatuan motosikal berkuasa tinggi, motosikal kecil dan kapcai dengan lebih dua juta ahli, bukti inisiatif yang baik dan memberi kelebihan kepada ahlinya.

"Saya galakkan dan seru supaya persatuan yang didaftarkan dengan pelbagai nama, tetapi mempunyai aktiviti hampir sama supaya bergabung supaya mudah kita membantu, terutama untuk salur sedikit peruntukan dan bantuan kewangan.

"Saya ucapkan tahniah kepada pemimpin persatuan permotoran seluruh negara yang sanggup menggabungkan persatuan mereka di bawah satu naungan dan masa sama meneruskan aktiviti masing-masing dengan objektif penubuhannya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Pertubuhan Kebangsaan 2017 di Dataran Pantai Batu Buruk di sini, petang ini.

Yang turut hadir Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, Datuk Mohammad Razin Abdullah.

Ahmad Zahid dalam pada itu mengingatkan semua persatuan supaya tidak melanggar Akta Pertubuhan 1966 seperti perebutan kuasa, kegagalan mengadakan mesyuarat agung tahunan, selain tidak menyatakan penyata kewangan yang boleh menyebabkan pendaftaran persatuan dibatalkan, sekaligus merugikan ahli.

"Daripada rekod yang saya peroleh, 28,190 persatuan dan pertubuhan sudah dibatalkan pendaftaran masing-masing oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) kerana melanggar Akta Pertubuhan 1966 sejak 2013.

"Sebagai contoh, sebuah pertubuhan pesara yang kita hormati, terpaksa dibatalkan pendaftarannya oleh ROS kerana perebutan jawatan. Biarpun asetnya banyak dan berada di bawah naungan Menteri Dalam Negeri, ia tetap terpaksa dikenakan tindakan. Akhirnya yang rugi ahli lah. 

"Gajah dengan gajah berlaga, pelanduk di tengah-tengah, mati tersepit. Orang yang kalah tak iktiraf yang menang, yang menang tak iktiraf yang kalah," katanya.

Beliau berkata, sehingga kini sejumlah 63,846 pertubuhan berdaftar seluruh negara direkodkan. 

ends//

129 dibaca
Berita Harian X