Jumaat, 13 Oktober 2017 | 6:39pm
Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Alwi Ibrahim. - Foto Halim Salleh

KDN kenal pasti syarikat menggaji anggota Abu Sayyaf

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah mengenalpasti syarikat kawalan keselamatan menggaji pengawal keselamatan yang disyaki anggota Abu Sayyaf dan tahap pembabitan mereka sedang disiasat.

Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Alwi Ibrahim, dalam satu kenyataan hari ini, menegaskan sekiranya siasatan KDN dan polis membuktikan syarikat kawalan keselamatan terbabit cuai dalam proses pengambilan pekerja sebagai pengawal keselamatan, maka ia boleh dikenakan tindakan seperti pembatalan lesen.

"KDN menetapkan beberapa proses yang ketat bagi pengambilan pekerja oleh syarikat kawalan keselamatan berdasarkan Akta dan Pekeliling termasuk mewajibkan semua syarikat ini membuat pengesahan ketulenan MyKad calon pengawal keselamatan secara biometrik di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebelum diambil bekerja.

"Pengesahan ketulenan dan pemilik sebenar MyKad hanya boleh dilakukan melalui kaedah pengesahan biometrik di JPN dan KDN juga mewajibkan semua syarikat ini membuat tapisan keselamatan ke atas pengawal keselamatan yang diambil bekerja, di bawah Akta Agensi Persendirian 1971.

"KDN memberi amaran kepada semua syarikat kawalan keselamatan supaya mematuhi peraturan dan garis panduan yang ditetapkan bagi pengambilan pekerja sebagai pengawal keselamatan terutama membuat pengesahan ketulenan kad pengenalan calon pengawal keselamatan secara biometrik dengan JPN," katanya.

Tegas Alwi, KDN tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana syarikat kawalan keselamatan sekiranya didapati menggaji pengawal keselamatan yang mempunyai hubung kait dengan anggota pengganas akibat daripada kecuaian syarikat untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh KDN.

Jelas beliau, kenyataan ini dikeluarkan sebagai maklum balas kepada laporan berhubung tangkapan ke atas pengawal keselamatan yang disyaki anggota Abu Sayyaf melalui dua siri tangkapan yang dilakukan oleh pihak polis sebelum ini.

Katanya, KDN memandang serius isu pengawal keselamatan yang disyaki anggota Abu Sayyaf dan ini adalah kes pertama membabitkan tangkapan ke atas pengawal keselamatan yang disyaki anggota Abu Sayyaf.

"Berdasarkan laporan awal hasil siasatan polis, kesemua suspek yang ditangkap dipercayai menggunakan dokumen pengenalan diri palsu untuk memohon untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan syarikat kawalan keselamatan," katanya.

342 dibaca
Berita Harian X