;
Rabu, 8 November 2017 | 7:00am

Mak Cik Saadiah tetap 'rindu' IPD Gerik

GERIK: Selepas hampir lima tahun berhenti melakukan rutin harian menghantar makanan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik, balu anggota polis, Saadiah Abdullah, kembali melakukan rutin itu sejak Mei lalu.

Bezanya, jika dulu wanita berusia 81 tahun itu yang lebih mesra dengan panggilan Mak Cik Saadiah menghantar makanan dengan mengayuh basikal ke IPD setiap hari, kini dia hanya mampu berbuat demikian sebulan sekali bagi menunaikan hajat dan rutin dilakukannya selama 37 tahun sebelum ini.

Selain itu, makanan dihantar bukan lagi nasi dan lauk pauk, sebaliknya makanan ringan seperti gula-gula serta tidak lagi mengayuh basikal sebaliknya membonceng motosikal yang ditunggang anaknya.

Sebelum ini, Saadiah dari Kampung Padang, Kuala Kenderong, di sini mengayuh basikal kira-kira lima kilometer setiap hari menghantar nasi dan lauk-pauk kepada suaminya, Alias Nik Daud, yang bertugas di IPD itu.

Suaminya terkorban dalam tragedi serang hendap oleh komunis ketika bertugas pada 28 Ogos 1975, namun Saadiah meneruskan amalan berkenaan demi kasih sayang dan kesetiaan kepada Allahyarham suaminya dan supaya rakan suaminya dan anggota balai itu dapat menjamah masakannya.

Saadiah berhenti melakukan rutin itu selepas terjatuh basikal pada akhir tahun 2012 dan anaknya yang tinggal bersama pula membuka tayar basikal supaya ibunya tidak mengayuh basikal lagi kerana dikhuatiri berbahaya.


SAADIAH menunjukkan gambar arwah suaminya, Alias Nik Daud (duduk kanan) yang terkorban pada tahun 1975 akibat diserang hendap komunis ketika membawa bekalan makanan di Pos Temengor, Banding di Kampung Padang, Gerik. - Foto Abdullah Yusof


LAPORAN BH pada Mac 2012 mengenai kegigihan Saadiah yang mengayuh basikal sejauh lima kilometer hampir setiap hari untuk menghantar makanan untuk diberikan kepada petugas di IPD Gerik.

Selepas itu, tabiat gemar menghantar bekalan dilakukan untuk anak dan cucunya di Kampung Pulau Belayar sejauh hampir dua kilometer dari rumahnya dengan hanya berjalan setiap hari sejak dua tahun lalu.

Saadiah berkata, dia kembali menghantar makanan ringan ke IPD Gerik sejak Mei lalu.

"Sekarang mak cik hanya dapat pergi ke balai polis (IPD Gerik) hanya sekali sebulan. Rasa terlepas juga rindu mak cik nak tengok balai polis dan anggota polis kita yang setia berkhidmat untuk orang ramai dan negara.

"Kini, mak cik hanya bawa makanan ringan terutama gula-gula setiap kali pergi ke situ... dah tak masak lauk-pauk dan bawa nasi macam dulu lagi," katanya ketika ditemui di rumahnya.

Saadiah pergi ke IPD itu dengan membonceng motosikal anaknya, Wan Jelani Alias, 47, yang tinggal tidak jauh dari rumahnya.

Dia yang tinggal bersama seorang lagi anaknya yang berstatus orang kurang upaya (OKU) kabur penglihatan, Wan Samsul Alias, 52, berkata dirinya masih teringin membawa bekalan makanan itu setiap hari seperti dulu kerana masih boleh mengayuh basikal walaupun usia lanjut.


SAADIAH kembali menghantar makanan ringan ke IPD Gerik sejak Mei lalu. - Foto Abdullah Yusof


LAPORAN BH pada Januari 2014.

Beliau juga kini berjalan setiap hari hampir empat kilometer pergi dan balik ke rumah anak sulungnya dengan suami pertama, Zulkifli Awang, 60, yang tinggal di Kampung Pulau Belayar bersebelahan kampungnya untuk melihat cucu dan cicitnya sambil membawa makanan ringan untuk mereka.

Kisah Saadiah menghantar bekalan makanan nasi dan lauk-pauk ke IPD Gerik sejauh lima kilometer selama 37 tahun dengan hanya mengayuh basikal menjadi perhatian apabila kisahnya disiarkan BH pada Mac tahun 2012.

Ketika itu, Saadiah berhasrat memiliki rumah selesa bagi menggantikan rumah didudukinya yang hampir roboh dan hasratnya tercapai apabila ada pihak membina rumah baharu berhampiran tapak rumah lamanya dan mula diduduki sejak awal Ramadan pada Julai tahun yang sama.

4213 dibaca
SAADIAH berjalan kaki sejauh dua kilometer untuk melawat keluarga anaknya dan memberi gula-gula kepada cicit di Kampung Pulau Belayar, Gerik. - Foto Abdullah Yusof
SAADIAH (dua dari kanan) beramah mesra dengan anggota polis di IPD Gerik. - Foto Abdullah Yusof
SAADIAH (kanan) menunjukkan keratan akhbar BH mengenai rumah baharunya. Saadiah kini tinggal bersama seorang lagi anaknya yang berstatus OKU kabur penglihatan, Wan Samsul Alias, 52. - Foto Muhaizan Yahya
LAPORAN BH pada Februari 2014.
Berita Harian X