Khamis, 9 November 2017 | 2:41pm

Tiada laporan pemain Kedah terbabit rasuah - SPRM

ALOR SETAR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan tidak menerima sebarang laporan mengenai isu rasuah bola sepak yang didakwa membabitkan jurulatih dan beberapa pemain skuad bola sepak Kedah.

Perkara itu dimaklumkan Pengarahnya, Datuk Mohd Fauzi Mohamad, ketika diminta mengulas isu berkaitan dakwaan rasuah membabitkan skuad Helang Merah itu, yang tersebar melalui laman sosial Facebook dan WhatsApp.

"Setakat ini tiada laporan diterima (isu dakwaan rasuah), jika ada laporan dengan asas yang kukuh, kita sedia lakukan siasatan mengikut Seskyen 16a(A) Akta SPRM 2009," katanya ringkas.

Isu rasuah itu heboh selepas maklumat mengenai tujuh pemain skuad Helang Merah Kedah didakwa menerima sogokan RM200,000 setiap seorang untuk aksi final Piala Malaysia, tersebar melalui laman sosial.

Selain tujuh pemain, maklumat berkenaan turut menamakan Ketua Jurulatih Kedah, Nidzam Adzha Yusoff.

Susulan itu, beberapa pihak termasuk Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, menggesa pihak yang mempunyai maklumat tampil membuat laporan berserta bukti untuk menyokong dakwaan itu.

Malah, seorang penyokong Kedah turut membuat laporan polis di Yan, pagi tadi menggesa siasatan dilakukan pihak berkuasa ke atas penyebaran maklumat yang menjejaskan imej dan maruah skuad Helang Merah itu.

Dalam aksi final pada malam Sabtu lalu, Kedah gagal mempertahankan trofi Piala Malaysia apabila tewas 0-2 kepada Johor Darul Takzim (JDT).

1125 dibaca
Berita Harian X