Rabu, 15 November 2017 | 12:12pm
TIMBALAN Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz. - Foto Mohd Fadli Hamzah

RM5.96 bilion wang tak dituntut

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM5.96 bilion Wang Tak Dituntut (WTD) masih berada dalam simpanan Jabatan Akauntan Negara sehingga 31 Oktober lalu.

   Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz, berkata WTD dipegang Jabatan Akauntan Negara sebagai pemegang amanah sehingga 15 tahun dan selepas itu, dimasukkan dalam pindahan hasil.

    Katanya, walaupun wang berkenaan sudah dimasukkan ke pindahan hasil, sekiranya ada individu atau waris datang untuk membuat tuntutan, kerajaan akan membuat pembayaran jika ada dokumen kukuh.

   "Prosedur untuk menuntut tidak menyusahkan sangat. Hanya perlu membawa kad pengenalan untuk semakan.

    "Sekiranya pemilik wang sudah meninggal dunia, waris boleh menuntut dengan membawa sijil kematian dan surat beranak (sijil kelahiran) bagi mengesahkan ada kaitan dengan si mati.

  "Sekiranya borang lengkap dan memenuhi prosedur ditetapkan, insya Allah pembayaran akan dibuat dalam tempoh 30 hari dari tarikh penerimaan borang," katanya menjawab soalan tambahan Sim Tong Him (Bebas-Kota Melaka) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan akan melancarkan Electronic Government Unclaimed Money Information System (eGUMIS) pada suku kedua tahun depan untuk memudahkan semakan status wang tidak dituntut.

   Ketika menjawab soalan Datuk Ahmad Fauzi Zahari sebelum itu, Othman berkata, kira-kira 70 peratus WTD membabitkan urusan perbankan seperti akaun simpanan dan akaun semasa.

  Katanya, tuntutan insurans pula meliputi 18 peratus dan 12 peratus lagi membabitkan penghutang dan pemiutang perdagangan.

  Beliau berkata, dalam tempoh Januari hingga bulan lalu, seramai 52,015 pemilik akaun membuat semakan WTD di Jabatan Akauntan Negara dan paling ramai dari ibu negara, iaitu 34,353 orang.

   "Ada juga kes pemilik akaun keliru dan menumbuk meja, ketika membuat semakan di Jabatan Akaun Negara kerana mendakwa wang mereka hilang.

    "Dalam buku akaun simpanan mereka mempunyai simpanan RM20,000, tetapi apabila membuat semakan hanya ada RM215.

  "Apabila disiasat mereka mengeluarkan simpanan menggunakan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan tidak pernah mengemas kini buku akaun simpanan," katanya.

    WTD akan dibayar kepada pemilik wang berkenaan tanpa faedah mengikut Seksyen 11 (3) Akta WTD 1965.

4052 dibaca
Berita Harian X