Rabu, 15 November 2017 | 12:40pm

MRA terus bantu pelarian Rohingya

KUALA LUMPUR: Malaysia Relief Agency (MRA) berjaya menyalurkan pelbagai bantuan kepada pelarian Rohingya di Cox Bazar, Bangladesh sejak sebulan lalu dalam misi membantu meringankan penderitaan dihadapi etnik berkenaan.

Presiden MRA, Dr Mohd Daud Sulaiman, berkata sukarelawan MRA sudah menyerahkan bantuan makanan asas dan ubat-ubatan selain membantu membina rumah perlindungan, tandas serta telaga tiub.

"Walaupun pasukan sukarelawan MRA sudah pulang ke tanah air kelmarin, mereka sudah membina sebuah sekolah sementara yang mampu menempatkan seramai 200 pelajar dan tiga guru dalam kalangan etnik Rohingya hasil sumbangan daripada rakyat Malaysia.

"Sekolah itu dinamakan Dhonnabad School (Sekolah Terima Kasih) yang terletak di Kem Pelarian Moyna Mistry Ghonna.


DR Wahida Jamaan (dua dari kanan) mengetuai pasukan perubatan MRA di klinik lapangan untuk pelarian Rohingya di Cox's Bazar. - Foto ihsan MRA

"Sebahagian program yang sudah dan sedang dilaksanakan turut mendapat kerjasama Self Reliant Society, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Bangladesh," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Mohd Daud berkata, selain bantuan asas, petugas perubatan diketuai EXCO Pembangunan Komuniti MRA, Dr Wahida Jamaan membantu merawat 111 pesakit dalam kalangan pelarian Rohingya di Kem Jamtoli dengan kerjasama NGO antarabangsa.

Katanya, rakyat Malaysia yang ingin terus membantu menyalurkan sumbangan, boleh menyumbang kepada Tabung Bantuan Kemanusiaan Rohingya MRA melalui akaun CIMB 8600059478 di atas nama Malaysian Relief Agency Foundation.

Orang ramai juga boleh menghubungi MRA di talian telefon 03-9174 4672 atau 013-337 1672 atau laman sesawang www.mra.my.


KAUM Ibu dan kanak-kanak pelarian Rohingya menunggu giliran untuk diperiksa oleh petugas perubatan MRA.

95 dibaca
Berita Harian X