Rabu, 15 November 2017 | 12:56pm
PENGERUSI Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Md Jais Sarday menandatangani plak sebagai simbolik perasmian Tandas Sejahtera di Laman Oleh-Oleh Maharani, Muar. - Foto Badrul Kamal Zakaria

Johor tiada masalah penubuhan PPPA

MUAR: Kerajaan Johor tiada masalah untuk menyerahkan semua kerja penyelenggaraan kepada Kerajaan Pusat Projek Perumahan Rakyat (PPR) menerusi penubuhan Perbadanan Pengurusan Perumahan Awam (PPPA).

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Md Jais Sarday, berkata ini kerana semua peruntukan berkaitan perumahan rakyat sememangnya diterima daripada Kerajaan Pusat menerusi kementerian berkaitan.

"Kita di peringkat negeri (Johor) tidak ada masalah (mengenai PPPA) dan kita akan memberi kerjasama sebab yang akan bagi peruntukan (penyelenggaraan) pun adalah Kerajaan Pusat.

"Kerajaan negeri juga bersedia untuk bekerja dengan Kerajaan Pusat berkaitan perkara ini. Kalau boleh, kita juga mahu lebih banyak PPR dibina di Johor khususnya di kawasan Johor Bahru," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Tandas Sejahtera di Laman Oleh-Oleh Maharani di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pegawai Daerah Muar, Onn Jabbar dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Muar (MPM), Jamaludin A Hamid.

Md Jais berkata, pihaknya percaya penubuhan PPPA itu tepat kerana terdapat pertembungan bidang kuasa antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan negeri, khususnya yang ditadbir pembangkang.

"PPR ini ada dua kategori iaitu PPR yang dibina di tanah negeri dan di tanah Kerajaan Persekutuan. PPR yang di peringkat negeri ini, bila dibina tetapi tidak ada pengurusan, dan bila Kerajaan Pusat mahu menguruskan, dia (pembangkang) pula tidak bagi sebab dibina atas tanah dia.

"Kerajaan sudah buat (bina PPR), tanah dia (kerajaan negeri) punya, kalau Kerajaan Pusat bantu banyak sangat, dia akan takut rakyat berubah fikiran. Ini yang menyebabkan penyelenggaraan PPR itu menjadi teruk," katanya.

Sementara itu, mengenai program berkenaan, Md Jais berkata, Program Tandas Sejahtera adalah pendekatan terbaharu bagi mengubah persepsi masyarakat mengenai kemudahan awam berkenaan dan pada masa sama mendidik rakyat untuk turut menjaganya.

"Bila kita sebut tandas awam, mesti fikir kotor dan kita mahu mengubah pemikiran itu dan mahu semua rakyat menghargai kemudahan itu. Kita berharap inisiatif ini akan dapat diperluaskan ke seluruh kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.

"Selain itu, kita juga sedang ke arah penggunaan teknologi hijau. Tandas Sejahtera ini juga menggunakan sistem takungan air hujan, sistem pengudaraan dan juga penggunaan tenaga dari solar," katanya.

150 dibaca
Berita Harian X