Rabu, 15 November 2017 | 1:32pm
KETUA Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa (tengah) menunjukkan buku laporan 'Enhancing Public Sector Performance-Malaysia's Experience with Transforming Land Administration' bersama Pengurus Bank Dunia Malaysia Faris H. Hadad-Zervos (kiri) dan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Sri Azizan Ahmad di Sasana Kijang Bank Negara hari ini. - Foto BERNAMA

Bank Dunia: Contohi pentadbiran tanah Malaysia

KUALA LUMPUR: Bank Dunia mengiktiraf kejayaan tranformasi dasar dan pentadbiran tanah yang dilaksanakan Malaysia.

Badan dunia itu menyifatkan pengalaman Malaysia dalam memastikan perkhidmatan pentadbiran tanah yang berkesan, meskipun berdepan struktur undang-undang dan institusi yang kompleks, boleh dikongsi dengan negara sedang membangun lain dalam menguruskan sumber mereka dengan lebih baik.

Pakar Kanan Sektor Awam Bank Dunia, Jana Kunicova, berkata laporan terkini Bank Dunia bertajuk Mempertingkatkan Prestasi Sektor Awam: Pengalaman Malaysia dengan Mentranformasi Pentadbiran Tanah yang dilancarkan hari ini, menawarkan pengajaran penting dalam pentadbiran tanah kepada negara lain.

Beliau berkata, lebih 70 peratus penduduk dunia tidak mempunyai capaian kepada sistem yang baik untuk memperoleh hak pemilikan tanah.

Namun, katanya, Malaysia mempunyai kejayaan tersendiri dalam pentadbiran tanah, khususnya berkaitan pendaftaran dan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

"Sistem pendaftaran tanah di Semenanjung membolehkan penyampaian perkhidmatan pentadbiran tanah yang cekap menerusi strata kelayakan dan akhir, menjajarkan proses perniagaan dan penggunaan ICT secara berkesan," katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran laporan berkenaan di sini, hari ini.

300 dibaca
Berita Harian X