Rabu, 15 November 2017 | 1:56pm

PAC syor geran kepada Agrobank

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mahu kerajaan meneruskan pemberian geran kepada Agrobank bagi membantu petani dan pengusaha pertanian untuk mengembangkan perniagaan.

Pengerusinya, Datuk Seri Hasan Ariffin, berkata pihaknya juga mengesyorkan supaya bilangan cawangan Agrobank dan AgroAgent ditambah terutamanya di Sabah dan Sarawak bagi membolehkan lebih ramai petani mendapat khidmat perbankan.

"Agrobank perlu terus memberi tumpuan untuk membantu petani bagi membangunkan sektor pertanian negara walaupun Agrobank tidak lagi menerima geran dari kerajaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Syor itu dibuat selepas PAC pada 26 Oktober lalu mengadakan prosiding berhubung isu pengurusan Agrobank di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani seperti dibangkitkan dalam laporan Ketua Audit Negara Tahun 2014 Siri 2, yang dibentangkan di Parlimen pada 23 November 2015.

Hasan berkata, dalam prosiding itu, PAC turut membangkitkan isu pencapaian petunjuk prestasi utama (KPI) Agrobank, prestasi dana pembiayaan deposit, pendapatan Fi tidak mencapai sasaran serta hapus kira.

PAC juga, katanya, berpuas hati dengan pencapaian Agrobank dalam menyediakan perkhidmatan kewangan yang lengkap mengikut kehendak pasaran dan pelanggan.

"PAC juga mengambil maklum Agrobank tidak lagi menerima geran daripada kerajaan sejak 2012.

"PAC berpendapat sumber kewangan yang diterima oleh Agrobank dari kerajaan sebanyak RM1.152 bilion dalam bentuk pinjaman tidak mencukupi bagi menampung keperluan pinjaman oleh petani dan masyarakat luar bandar," katanya.

171 dibaca
Berita Harian X