Rabu, 15 November 2017 | 2:19pm
TIMBALAN Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengadakan sidang media selepas selesai Majlis Lafaz dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bersama Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan di Bilik Gerakan Negeri, Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu. - Foto Zaman Huri Isa

Pengusaha hotel perlu hormat hak orang Islam

KOTA BHARU: Pengusaha hotel perlu lebih sensitif menghormati hak orang Islam berhubung isu larangan wanita bertudung bekerja di kaunter hadapan khidmat pelanggan, yang bertentangan Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata tiada sesiapa berhak mempertikaikan wanita bertudung dan ia tidak akan menjejaskan operasi hotel.

Beliau berkata, pemakaian tudung tidak merugikan, sebaliknya memberi kelebihan kepada hotel kerana menjadikan pekerja nampak lebih sopan dan dihormati pelanggan.

"Sedangkan doktor sendiri berpakaian lengkap dan hanya nampak muka ketika masuk ke dalam bilik pembedahan, namun ia tidak menjejaskan tugas mereka, begitu juga pekerja hotel.

"Orang Islam sendiri tidak pernah memaksa mereka (orang bukan Islam) memakai baju kurung terutama di Kelantan selagi mereka mematuhi peraturan menutup aurat di semua premis termasuk hotel," katanya selepas Mesyuarat Exco kerajaan negeri, di sini, hari ini.

Mohd Amar mengulas laporan media mengenai Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Cheah Swee Hee, yang mempertahankan tindakan hotel melarang wanita Islam bertudung bekerja di bahagian khidmat pelanggan sebagai sebahagian polisi antarabangsa.

Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (Uni-MLC) sebelum ini mendedahkan aduan kakitangan hotel kepada pusat mengenai diskriminasi terhadap pekerja wanita Islam yang diarahkan menanggalkan tudung, termasuk pelajar menghadiri kursus perhotelan dan pelancongan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri, Mumtaz Md Nawi, berkata pihaknya menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan segera terhadap MAH kerana bertentangan dengan Perkara 3 (1) dan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

"Kami kesal dan menolak sepenuhnya kenyataan Swee Hee mempertahankan tindakan operator hotel yang melarang kepada pekerja wanita beragama Islam bertudung ketiga bekerja di bahagian perkhidmatan pelanggan.

"Tindakan ini adalah satu bentuk diskriminasi terpilih, sedangkan kerjaya lain seperti polis dan jururawat dibenarkan bertudung, namun tidak menjejaskan prestasi kerja.

"Malah, kerajaan Scotland dengan rasmi pada tahun lalu membenarkan anggota polis wanita bertudung, dan kini Kanada turut memperkenalkan hijab bagi pegawai Muslimah," katanya.

362 dibaca
Berita Harian X