Rabu, 15 November 2017 | 2:36pm
MENTERI Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada sebahagian Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) daerah Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah semasa Lawatan Kerja dan Perjumpaan Bersama Pesawah Pulau Pinang, di Kepala Batas. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

Banjir: RM10 juta bantuan untuk petani terjejas

KEPALA BATAS: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani meluluskan peruntukan lebih RM10 juta sebagai bantuan awal kepada petani, penternak dan nelayan di Pulau Pinang yang terjejas akibat banjir, baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata bencana berkenaan memberi kesan kepada hampir 5,700 pengusaha pertanian di negeri ini, dan bantuan ihsan berkenaan adalah bagi meringankan beban yang ditanggung golongan itu.

Beliau berkata, kementerian juga sudah mengaktifkan prosedur operasi standard (SOP) Bencana Sektor Agromakanan, bagi menggembleng usaha yang lebih tersusun menghadapi bencana berkenaan, termasuk menilai kerosakan secara terperinci bagi memastikan kesinambungan pengeluaran makanan negara terjamin.

"Seramai 460 petani sayur dan buah di Pulau Pinang terjejas akibat banjir yang membabitkan kawasan penanaman seluas 600 hektar.

"Sementara dalam segmen padi dan beras, laporan awal yang diterima daripada pasukan pemantau banjir mendapati hampir 10,900 hektar kawasan sawah membabitkan 4,800 pesawah terjejas dalam kejadian banjir di Pulau Pinang, baru-baru ini," katanya kepada pemberita selepas Lawatan Kerja dan Perjumpaan Bersama Pesawah Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Shabery berkata, berdasarkan laporan diterimanya, kementerian memperuntukkan RM9.7 juta untuk bantuan penanaman semula padi kepada pesawah yang terjejas banjir berkenaan.

"Untuk segmen perikanan pula, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) melaporkan lebih 110 nelayan terjejas dan ia meliputi kerosakan rumah, jeti, pantoon dan lain-lain peralatan.

"Justeru, LKIM memperuntukkan RM50,000 sebagai bantuan ihsan awal kepada mereka dan ia dijangka diterima akhir bulan ini," katanya.

Ahmad Shabery berkata, LKIM juga akan membuat penilaian kerosakan dan memberikan bantuan lanjut menggunakan Tabung Bencana Alam Dan Kebajikan Nelayan.

"Dalam bencana ini juga, seramai 160 pengusaha akuakultur membabitkan lebih 3,500 sangkar dan kolam terjejas di negeri ini, dan Jabatan Perikanan akan membuat penilaian kerosakan sebelum menyalurkan bantuan bernilai RM500,000 yang akan diberikan awal tahun hadapan.

"Seramai 90 penternak yang terjejas akan menerima bantuan awal, termasuk mengedarkan makanan haiwan bernilai lebih RM50,000 untuk golongan itu," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Shabery berkata, pelanggan Agrobank yang terjejas banjir juga boleh memohon kemudahan penangguhan bayaran ansuran pembiayaan untuk mereka yang kehilangan sumber pendapatan atau mengalami kemusnahan projek.

244 dibaca
Berita Harian X