Rabu, 15 November 2017 | 2:48pm
MENTERI Kesejahteraan Bandar Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar (tengah) melawat anggota bomba Shazlan Mohd Hanafiah (dua dari kiri) dan Mohd Azri Aziz (kiri) yang cedera ketika memadamkan kebakaran silo di sebuah kilang memproses kayu di Kawasan Perindustrian IGB, Tasek di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh. - Foto Abdullah Yusof

Larangan bertudung: Noh sarankan PBT tarik balik lesen

IPOH: Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar, menyarankan pihak berkuasa tempatan (PBT) menarik balik lesen pengusaha hotel antarabangsa yang didapati tidak membenarkan pekerja wanita beragama Islam, khususnya yang berada di kaunter perkhidmatan pelanggan memakai tudung.

Beliau berkata, lesen pengusaha hotel adalah di bawah bidang kuasa PBT dan jika benar dakwaan ada hotel yang bertindak sedemikian, tindakan itu tidak boleh diterima.

"Saya minta PBT yang bertanggungjawab mengeluarkan lesen hotel ini, kalau benar aduan ini kita dapati, saya sarankan supaya PBT itu tarik balik lesen yang dikeluarkan.

"Tindakan ini (melarang pekerja wanita bertudung) bagi saya bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan hak asasi manusia yang selalu diperjuangkan di peringkat antarabangsa.

"Sebagai orang Islam, wanita wajib pakai tudung walaupun dia bekerja di rangkaian hotel antarabangsa, kalau di peringkat antarabangsa pun, dia (pengusaha hotel) perlu lebih rasional.

"Mereka memperjuangkan hak kebebasan beragama, berpakaian, bersuara malah turut perjuangkan hak berkahwin, khususnya dalam kalangan LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender), takkanlah nak benarkan wanita Islam bertudung tak boleh?" katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat dua kakitangan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, Shazlan Mohd Hanafiah, 32, dan Mohd Azri Aziz, 30, di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, hari ini.

Dua anggota bomba terbabit cedera parah akibat disambar api ketika menjalankan operasi memadam kebakaran silo di sebuah kilang membuat papan lapis di Kawasan Perindustrian IGB Tasek di sini, Sabtu lalu.

Yang hadir sama, Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Wan Mohd Nor Ibrahim dan Pengarah JBPM Perak, Datuk Yahaya Madis.

Noh mengulas kenyataan Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Cheah Swee Hee, yang sebelum ini dilaporkan mempertahankan tindakan hotel melarang wanita Islam bertudung bekerja di bahagian khidmat pelanggan kerana ia sebahagian daripada polisi antarabangsa.

Ia berikutan Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (Uni-MLC) mendedahkan aduan kakitangan hotel kepada pusat mengenai diskriminasi terhadap pekerja wanita Islam yang diarah menanggalkan tudung.

Noh berkata, jika benar hotel terbabit mengenakan dasar dan polisi sedemikian, pengusaha hotel berkenaan sepatutnya tidak boleh beroperasi di negara ini kerana mereka perlu menghormati Perlembagaan Persekutuan.

1470 dibaca
Berita Harian X