Selasa, 21 November 2017 | 12:52pm
KETUA Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Dr Abang Johari Abang Openg menyampaikan ucapan ketika perasmian Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) 2017 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching. - Foto Asyraf Hamzah

WIEF: Mantapkan ekonomi digital

KUCHING: Sarawak memanfaatkan sepenuhnya Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) untuk mencari kaedah baharu bagi melengkapkan diri menghadapi kesan akibat perubahan distruptif, dalam pelaksanaan ekonomi digital.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata perubahan distruptif dalam bentuk kemajuan teknologi kini mengubah kehidupan, seterusnya mewujudkan peluang baharu dan mengubah industri konvensional.

Katanya, menerusi forum itu, beliau berharap dapat mengenal pasti peluang dan penyelesaian serta menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak di peringkat global, untuk menangani cabaran yang dihadapi.

"Tema WIEF iaitu "Perubahan Distruptif: Kesan dan Cabaran" sangat tepat pada masanya dan sejajar dengan aspirasi Sarawak untuk mengubah ekonomi dengan memanfaatkan teknologi digital.

"Sebagai Ketua Menteri, saya secara peribadi mendorong usaha untuk memperkasakan pembangunan negeri menerusi ekonomi digital," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Perasmian WIEF-13 yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, beliau percaya ekonomi digital akan menjana banyak peluang pekerjaan dan peluang baharu untuk usahawan dengan meningkatkan kecekapan dalam pengurusan perniagaan.

"Ekonomi digital akan mempercepatkan pertumbuhan, meningkatkan kekayaan seterusnya mencapai matlamat menjadikan Sarawak sebagai negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.

"Sarawak terletak dalam kedudukan strategik antara rantau timur serta barat dunia dan sebagai sebahagian daripada negeri yang pesat membangun, Sarawak sudah berjaya menempatkan diri sebagai satu destinasi pelaburan yang paling menarik di rantau ASEAN," katanya.

Dengan kedudukan itu, katanya, Sarawak akan menjadikan ekonomi digital sebagai platform yang kuat untuk menjangkau komuniti perniagaan global serta menjalin kerjasama antarabangsa.

"Kerajaan negeri akan melakukan segala yang mungkin untuk mengubah Sarawak menjadi kuasa ekonomi digital," katanya.

375 dibaca
Berita Harian X